Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir bercakap pada media selepas Penyerahan Watikah Peserta Projek 66.6 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 22 JUN 2024.

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tidak ada sebarang perjanjian dilakukan ketika bertemu dengan pengurusan tertinggi BlackRock Inc di London pada 2018.

Menurut Dr. Mahathir, beliau bertemu dengan pengurusan BlackRock dan beberapa pemimpin syarikat lain bagi mengetahui prospek ekonomi untuk Malaysia.

“Saya fikir (pertemuan) itu adalah untuk mengetahui apa yang boleh mereka lakukan (untuk Malaysia). Tetapi tiada perjanjian dengan mereka. Hanya pertemuan,” kata Dr. Matathir.

Keratan layar pertemuan Dr. Mahathir dengan pimpinan syarikat pengurusan aset antarabangsa di London pada 2018.

Bekas perdana menteri itu ditanya mengenai penularan keratan layar di media sosial mengenai pertemuan beliau dan pengurusan BlackRock ketika memimpin negara.

Selain BlackRock, Dr. Mahathir turut bertemu dengan pimpinan syarikat pengurusan aset PIMCO dan AMUNDI yang dianjurkan oleh HSBC Bank.

BlackRock menjadi perhatian selepas syarikat yang dimiliki sepenuhnya, Global Infrastructure Partners (GIP) dilaporkan akan membeli kepentingan dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).

Terdapat bantahan terhadap penjualan saham MAHB kepada GIP berikutan BlackRock didakwa sebagai pro-Israel dan didakwa terlibat secara tidak langsung terhadap pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Serangan berterusan Israel ke atas Gaza selama lebih lapan bulan telah menyebabkan lebih 37,000 penduduk Palestin maut selain menyaksikan kemusnahan besar-besaran infrastruktur di wilayah itu yang menyelabkan lebih 1 juta menjadi pelarian.

Sementara itu Dr. Mahathir menegaskan polisi terhadap Israel dan syarikat yang pro negara Zionis harus berubah mengikut perkembangan semasa.

Katanya, berbanding dahuhu pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza ketika ini adalah melebihi luar kemananusiaan.

“Penindasan (terhadap penduduk Palestin) berlaku sejak dahulu namun hari ini (Israel) membunuh kira-kira 100 orang Palestin sehari. Ini tidak berperikemanusiaan.

“Dan bahagian yang lebih teruk ialah Amerika Syarikat menyokong (pembunuhan beramai-ramai) dengan menyediakan bom dan roket.

“Jadi ia sangat serius, pembunuhan beramai-ramai sedang berlaku. Itulah sebabnya dasar negara perlu mengikut apa yang berlaku di lapangan,” katanya kepada media.

Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir berucap pada Penyerahan Watikah Peserta Projek 66.6 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 22 JUN 2024.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Projek 66.6 di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini. Turut hadir bekas Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin yang juga Pengerusi Projek 66.6.

Dr. Mahathir berkata, tindakan paling mudah bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza adalah dengan memboikot syarikat yang menyokong Israel.-MalaysiaGazette