Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Jika Pakatan Harapan (PH) mahu meletakkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sementara ia hanya menunjukkan pembangkang mengamalkan demokrasi tidak baik.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin membidas langkah itu kerana berpendapat ia tidak mencerminkan sebuah kerajaan yang stabil dan kuat apabila sanggup mengadaikan prinsip demokrasi demi kepentingan seorang individu.

“Apa pun keadaannya, Pas berpandangan perdana menteri locum bukanlah amalan yang baik dan tidak mencerminkan kerajaan yang dipimpinnya sebuah kerajaan stabil dan kuat,” kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Takiyuddin juga mengingatkan blok pembangkang,  pelantikan jawatan Perdana Menteri adalah kuasa Yang di Pertuan Agong dan faktor itu tidak boleh diabaikan kerana baginda memiliki kuasa prerogatif untuk memilih individu yang layak memegang jawatan penting itu.

“Berdasarkan peruntukan-peruntukan di atas, jelaslah bahawa selepas PRU14, Yang di Pertuan Agong boleh menggunakan ‘hak istimewa’ baginda untuk melantik seorang daripada 222 orang ahli parlimen Malaysia yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Perdana Menteri akan dilantik dalam kalangan pemimpin parti yang mendapat majoriti kerusi di Parlimen,” katanya.

Perkara 43 dalam Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan bahawa perdana menteri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah seorang anggota Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti anggotanya.

Mengikut perkara 40 fasal 2 iaitu kuasa prerogatif Yang di Pertuan Agong dalam hal melibatkan pelantikan perdana menteri tanpa perlu mengikut nasihat mana-mana pihak. – MalaysiaGazette