Home Nasional Cubaan seludup keluar 1,440 kg gula gagal

Cubaan seludup keluar 1,440 kg gula gagal

TAWAU – Cubaan menyeludup keluar 1,440 kilogram gula bersubsidi berjaya dipatahkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi Gelora Khas di kawasan perairan Sungai Bergosong.

Gula terbabit dirampas dalam sebuah bot jongkong setelah diperiksa oleh lima anggota PPM selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan pada kira-kira jam 4 petang, Sabtu.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Assisten Komisioner Mohd Yazid Abd Aziz menerusi kenyataan berkata bot jongkong tersebut dikesan dari arah Tanjung Batu dan menuju ke perairan Indonesia.

“Pemeriksaan terhadap bot dikendalikan lelaki tempatan berumur 36 tahun itu menemui 1,440 kilogram gula pasir jenama Prai disimpan di ruang belakang jongkong dan ditutup menggunakan kanvas.

“Juragan juga gagal mengemukakan sebarang lesen atau dokumen berkaitan pemilikan barangan bersubsidi berkenaan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Kita percaya gula dirampas itu cuba diseludup keluar ke Indonesia,” ujar beliau.

Tambahnya, semua barang rampasan termasuk bot jongkong bersama dua unit enjin dianggarkan bernilai RM36,176 dibawa ke pejabat PPM Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – MalaysiaGazette