KUALA LUMPUR – Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah sumbangan kebajikan yang masih dikehendaki dan diterima baik oleh penerima-penerimanya, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, ia merupakan hasil kajian yang dilakukan kerajaan, malah beliau sendiri menyaksikan ramai orang ke Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk menyemak nama dalam senarai BR1M.

“Buktinya baru-baru ini saya rasmikan UTC di Seremban. Saya masuk pejabat cawangan LHDN, ramai di situ bukan semak cukai tetapi menyemak nama mereka ada dalam senarai BR1M ke tidak.

“Kalau mereka tak nak BRIM, takkan mereka ke LHDN,” katanya dalam program wawancara Bicara 4 Mata theRakyat.

Jelasnya, BR1M diperkenalkan oleh kerajaan untuk mengurangkan subsidi pukal semasa melaksanakan rasionalisasi subsidi minyak.

Najib berkata, rasionalisasi minyak dibuat selepas mendapati kerajaan terpaksa membelanjakan RM22 bilion untuk bahan bakar dan ia merupakan satu pembaziran.

“Kalau beri secara pukal yang untung orang yang berkereta besar. Tapi orang yang miskin ini, yang bawa Honda Cub, tidaklah berapa besar untung berbanding orang yang pakai kereta besar, contohnya Mercedes dan sebagainya.

“Eloklah kita kurangkan subsidi pukal dan ganti dengan subsidi bersasar. Timbullah cadangan kita buat BR1M ini. Bila buat BR1M kita lebih fokus kepada golongan yang memerlukan.

“Jadi kita hapuskan subsidi minyak, hampir tidak ada. Hasil yang kita jimat, kita pindah kepada BR1M kepada orang yang memerlukan bantuan,” tambah Najib.

Perdana Menteri berkata, tidak ada salahnya kerajaan memberi BR1M, sedangkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh pembangkang juga memberi bantuan kewangan yang sama, cuma jumlahnya lebih kecil.

Bagaimanapun, katanya, jika ada yang pihak yang menentang pemberian BR1M, janganlah mengambil bantuan itu.

“Kalau tak suka pada BR1M, kalau kutuk BR1M, janganlah ambil BR1M,” ujarnya. – theRakyat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast