KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) selesai membeli tanah seluas 55.79 ekar daripada kerajaan pada harga RM2 bilion yang terletak berhampiran Kompleks Sasana Kijang.

Sasana Kijang yang juga milik BNM, dilengkapi dengan lokasi persidangan dan kemudahan latihan seni dan organisasi antarabangsa seperti Bank Dunia, Pusat Penyelidikan dan Latihan Bank Pusat Asia Tenggara (SEACEN) dan Alliance for Financial Inclusion (AFI).

Ia juga berhampiran dengan kompleks Asia School of Business (kerjasama dengan Institut Teknologi Massachusetts) dan Pusat Latihan Industri Kewangan yang kini sedang dalam pembinaan.

Tanah yang dibeli itu akan digunakan untuk penempatan semula Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF) dan Akademi Penyelidikan Shari’ah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA).

Bank Pusat itu berkata, tanah berkenaan akan digunakan untuk pembangunan pendidikan dan latihan masa depan yang akan memberi tumpuan kepada peningkatan keupayaan teknikal bakat dalam industri perkhidmatan kewangan.

Seluruh kawasan gabungan akan dijadikan sebagai hab pendidikan kelas dunia untuk Perkhidmatan Kewangan.

Ia juga bakal menjadi tumpuan utama untuk pembelajaran dan penyelidikan antarabangsa yang akan memupuk kumpulan bakat tempatan yang mampan untuk menyokong pembangunan industri kewangan domestik

Menurutnya, kos tanah itu tertakluk kepada tinjauan akhir kawasan yang terlibat dan penilaian tanah telah dipersetujui bersama antara Bank Negara dan Kerajaan Malaysia berdasarkan proses penilaian yang dijalankan oleh penilai bebas yang dilantik. – MalaysiaGazette