KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad telah memberikan keterangan berhubung isu tukar hak milik tanah FELDA, di Jalan Semarak disini.
Isa Samad antara individu terpenting bagi mendapatkan keterangan berhubung isu berkenaan kerana pernah memegang jawatan terbabit dari tahun 2011 sehingga tahun 2017.
“Kita dah panggil dia (Isa) dan saya rasa keterangan sudah selesai diambil. Ada beberapa individu lain yang kita percaya ada kaitan dengan kes ini akan turut dipanggil dalam masa terdekat untuk memberi keterangan.
“Tapi tidak perlulah saya dedahkan siapa identitinya, sebelum ini juga ada beberapa individu lain sudah kita ambil keterangan,” katanya memetik laporan Berita Harian Online hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berkata, lebih ramai lebih ramai individu akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung isu sama.
Media tempatan sebelum ini mendedahkan bahawa Felda berisiko kehilangan hak ke atas tiga lot tanah strategik di Jalan Semarak, yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak tahun 2015.
Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney – PA) bagi membangunkannya.
Bagi membuat siasatan, polis sudah menubuhkan satu pasukan khas bagi siasatan kearah itu.
Ia berikutan satu laporan polis yang dibuat pada 12 Disember lalu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan, iaitu penipuan serta pemalsuan dokumen. -MalaysiaGazette.