KUALA LUMPUR – Skim Insurans Pekerjaan (SIP) yang diperkenalkan tahun 2018 dijangka menerima kutipan RM479.5 juta tahun ini sahaja.

Pengerusinya, Tan Sri Che Aseh Che Mat berkata, setakat ini sebanyak 430,000 majikan telah berdaftar dengan pihaknya bagi mendapatkan perlindungan insurans pekerjaan tersebut.

“SIP ini melibatkan caruman daripada 6.6 juta pekerja swasta tanpa mengira had gaji dan mereka perlu berumur antara 18 hingga 60 tahun. Kadar caruman SIP ini adalah 0.2 peratus bagi pekerja dan majikan. Ia merupakan suatu skim keselamatan sosial untuk membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan.

“SIP ini juga terdiri daripada dua komponen utama iaitu insurans pekerja dan Dasar Pasaran Buruh Aktif atau ALMP. Pekerja yang kehilangan pekerjaan akan diberikan bantuan kewangan sementara antara tiga hingga enam bulan.

“Kedua, untuk terus menerima bantuan kewangan, penerima faedah SIP diwajibkan mengikuti ALMP iaitu carian pekerjaan dan latihan bagi tujuan meningkatkan motivasi dan insentif mencari pekerjaan,” katanya.

Tambahnya, sementara menunggu dana SIP matang pada Januari 2019, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM136 juta bagi bantuan interim.

“Bantuan interim ini bermula pada 1 Januari sehingga 31 Disember 2018 sementara menunggu tempoh caruman SIP matang pada Januari 2019. Selain bantuan kewangan, kerajaan juga akan membantu dalam mencari kerja dan latihan atau apa-apa program berkaitan sekiranya perlu.

“Sumber interim sepanjang 2018 ini adalah daripada geran kerajaan pada 2011 dan peruntukan kerajaan pada 2017. Menerusi bayaran interim ini, bantuan kewangan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan adalah sebanyak RM600 bagi tempoh tiga bulan dengan anggaran penuntut seramai 57,282 orang,” katanya.

Menurut beliau lagi, selepas tempoh itu, mereka yang kehilangan pekerjaan akan menerima bantuan bayaran selama enam bulan dengan jumlah diterima berdasarkan kadar tertentu.

“Sebagai contoh caruman SIP untuk tempoh 24 bulan, bagi yang bergaji RM2,950 akan menerima 80 peratus dari jumlah gaji mereka bagi bulan pertama iaitu RM2,360. Bagi bulan kedua mereka akan terima 50 peratus, bulan ketiga dan empat sebanyak 40 peratus serta bulan kelima hingga enam akan terima sebanyak 30 peratus daripada gaji akhir sebelum kehilangan pekerjaan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan antara syarat kelayakan bagi menuntut faedah SIP adalah pemberhentian biasa, skim pemisahan sukarela (VSS) atau skim pelepasan sepakat (MSS).

Tambahnya, sejak mula dikuatkuasakan, SIP telah menerima sebanyak 42 orang pengadu bagi memohon bantuan faedah tunai interim sebagai pendapatan sebelum mendapat pekerjaan baharu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast