KUALA LUMPUR – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan melaksanakan Skim Eksport Minyak Sawit Mentah (MSM) tanpa duti eksport bagi tempoh tiga bulan akan datang bermula 8 Januari hingga 7 April 2018.
Menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, pelaksanaan skim ini bertujuan untuk mengurangkan stok minyak sawit dan mengukuhkan harga pasaran minyak sawit.
Jelas Siew Keong, harga MSM ketika ini menunjukkan tren penurunan yang amat ketara sejak Oktober 2017.
“Pada bulan Disember 2017, harga purata MSM telah menurun kepada RM2.372.50 pada tempoh minggu ketiga. Manakala stok minyak sawit pada bulan November 2017 telah meningkat 16 peratus kepada 2.56 juta tan ekoran peningkatan dan pengeluaran eksport minyak sawit.
“Peningkatan stok juga dijangka berterusan sehingga tahun 2018. Justeru itu, pelaksanaan skim ini adalah satu langkah jangka pendek kerajaan bagi menangani kejatuhan harga minyak mentah.
“Langkah ini juga supaya pendapatan pekebun kecil sawit tidak terjejas dan industri sawit negara terus berdaya saing,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut Siew Keong, pengecualian duti eksport akan diberhentikan lebih awal tiga bulan sekiranya stok minyak sawit menurun kepada paras 1.6 juta tan yang merupakan paras stok bersesuaian.
“Paras stok yang bersesuaian untuk menstabilkan harga serta yang mencukupi untuk memenuhi keperluan industri penapisan sawit.
“Skim ini terbuka kepada semua syarikat yang mempunyai lesen sah untuk mengeksport MSM.
“Kita juga akan terus memantau tren harga pasaran dan stok minyak sawit serta akan terus melaksanakan langkah-langkah bersesuaian bagi memperkukuhkan harga minyak sawit di pasarAn tempatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette