KUALA LUMPUR –  Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mewujudkan semula Geran Pembangunan Pasaran (MDG) mulai 1 Januari 2018 selepas digantung tahun lalu.

MDG merupakan geran yang boleh dikembalikan sehingga RM200,000 bagi penyertaan aktiviti promosi eksport.

Ia termasuk pameran perdagangan antarabangsa, misi perdagangan dan pelaburan, misi pemecut eksport, persidangan antarabangsa selain yuran penyenaraian barangan buatan tempatan di pasar raya, pasar raya besar dan pusat runcit di luar negara.

Langkah itu dibuat supaya lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengeksport produk yang dikeluarkan, selain seiring dengan pengumuman Bajet 2018 pada Oktober lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros berkata, sejak pelaksanaan geran itu pada 2002, ia telah  memberi manfaat kepada 7,682 syarikat tempatan yang menembusi pasaran utama eksport Malaysia.

Antaranya di ASEAN, China dan Emiriah Arab Bersatu.

Dengan adanya semula geran itu, satu garis panduan baru akan diperkenalkan, termasuk syarikat perlu mendaftar dan mengemas kini maklumat masing-masing dengan Matrade menerusi Pendaftar Eksport Malaysia.

Selain itu, PKS mesti memiliki entiit perniagaan yang aktif, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast