Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr. Salleh Said (tengah) bersama Presiden Kelab Suara Anak Muda 1Malaysia, Datuk Armand Azha Abu Hanifah (tiga kiri) serta yang lain menyempurnakan gimik Majlis Pra Pelancaran Malaysia Cyber Games 2018 di lobi banggunan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 08 JANUARI 2017

PUTRAJAYA – Generasi muda tidak akan terpedaya dengan Pakatan Harapan (PH) hanya kerana tawaran untuk memberikan hak penyiaran bola sepak luar negara Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Sebaliknya kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, belia dan generasi muda lebih mementingkan isu yang melibatkan jaminan masa depan.

“Pada saya pemuda kini matang dan mereka tidak hanya melihat dari satu isu sahaja untuk menentukan masa depan mereka.

“Golongan muda mahukan kemampuan untuk mendepani hidup mereka mahu peluang pekerjaan, ekonomi untuk memastikan kebaikan masa depan mereka,” katanya selepas pra-pelancaran Malaysia Cybergames 2018 disini hari ini.

Justeru, tawaran Pemuda PH itu disifatkannya sebagai tidak realistik dan sepatutnya fokus terhadap tawaran yang boleh mendatangkan faedah kepada rakyat secara keseluruhannya apatah lagi melibatkan kos yang boleh mencecah ratusan juta ringgit.

“RTM adalah satu stesen yang dimiliki oleh kerajaan beerti ia dimiliki oleh rakyat dan sudah tentu kita pastikan apa pun wang kita gunakan itu memberikan manfaat kepada rakyat secara keseluruhan.

“EPL sekarang ini pun memang ditayangkan di Astro dan kosnya bukannya murah dan mencecah ratusan juta mungkin juga bilion dan wang itu boleh digunakan untuk keperluan lain,” katanya lagi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berucap pada Majlis Pra Pelancaran Malaysia Cyber Games 2018 di lobi banggunan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 08 JANUARI 2017

Salleh turut menangkis dakwaan Pemuda PH RTM tidak menyiarkan rancangan yang boleh menarik minat penonton khususnya golongan muda.

Dakwaan itu sebaliknya jelas beliau lagi strategi politik parti pembangkang itu untuk menarik perhatian pengundi muda menuju pilihan raya.

“Kita tidak boleh politikkan semua perkara kerana ada perkara yang tidak boleh dipolitikkan dan RTM juga ada menyiarkan banyak program berbentuk sukan dan tidak semestinya EPL itu tak ditayangkan di RTM maka kita tidak siarkan program-program yang sesuai dengan anak muda,” tambahnya.

Menerusi dunia tanpa sempadan, Salleh percaya EPL bukan sahaja boleh ditonton di televisyen tapi juga menerusi jaringan internet. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast