Anina Saadudin
Pengasas Empirical Malaysia, Anina Saadudin

KUALA LUMPUR – Salah seorang bekas pengasas kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin berkata gabungan Pakatan Harapan (PH) jelas semakin bercelaru apabila melantik pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri.

Ujarnya, pengumuman yang dibuat dalam Konvensyen PH semalam langsung tidak memberikan kesan kepada pengundi malah mencerminkan sifat buruk pembangkang.

“Jelas di sini, pengumuman tersebut sebenarnya tidak memberikan sebarang kesan tapi sebaliknya memberikan implikasi yang buruk kepada pembangkang sehingga menambah kecelaruan dan tidak mustahil bakal mengundang perpecahan dalaman di kalangan rakan parti dalam gabungan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Bekas Ketua Srikandi PPBM itu merujuk kepada pengumuman Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri PH sekiranya gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) kelak.

Malah konvensyen sama turut mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Timbalan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Anina turut mengucapkan tahniah kepada Dr. Mahathir kerana dicalonkan sebagai PM bagi pembangkang.

“Adakah rekod dunia juga bakal dipecahkan apabila calon paling lewat usia akan memerintah satu-satunya negara dalam dunia, perkara yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pembangkang dalam dunia.

“Lebih hebat dari itu, adakah Tun M akan berjaya menjadi satu-satunya PM yang menjadi PM semula selepas menjatuhkan dua PM selepasnya. Adakah ini rekod yang mahu dicipta oleh rakyat Malaysia?,” soal Anina.

Anina bertindak keluar parti serpihan UMNO itu pada 16 September lalu kerana terlalu kecewa dengan pucuk pimpinan PPBM.

Ekoran daripada tindakan itu, Dr. Mahathir dalam satu sidang media di Perak menggelarkan mereka yang keluar daripada parti parti itu sebagai ‘sampah’.

“Takziah juga kepada pembangkang, mana tidaknya tidak sampai beberapa jam pengumuman itu bait-bait perpecahan dalaman sudah timbul.

“Sebelum berlangsung konvensyen, PAN (Parti Amanah Negara) Johor memboikot Konvensyen Pakatan Harapan, difahamkan PAN Perak juga memboikot konvensyen tersebut.

“Terdapat sumber dalaman memberitahu sudah mula suara tidak berpuas hati dalam kalangan pemimpin serta ahli PAN yang rasa tertipu sebaik pengumuman Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast