Bekas Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berbincang sesuatu dengan Timbalan Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil Bersih 2.0, Shahrul Arman Mohd Saari pada sidang media mengenai kategori baru pengundi pos dalam usaha untuk memanipulasi hasil pilihan raya di Pejabat Bersih 2.0 Petaling Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 10 JANUARI 2018.

PETALING JAYA – Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (BERSIH 2.0) hari ini mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memansuhkan undi pos dan menggantikan dengan pengundian awal bagi anggota keselamatan pada PRU-14.

Pengerusinya, Maria Chin Abdullah berkata, ia perlu dilakukan segera susulan peti undi pos yang disimpan dalam balai polis atau mana-mana pejabat agensi penguat kuasa diragui keselamatannya dan dikhuatiri dimanipulasi untuk memenangkan parti pemerintah.

“Undi pos digunakan untuk mewujudkan pilihan raya memihak kepada Barisan Nasional (BN) sebagaimana dibuktikan dalam PRU-13.

“Ketika itu BN akan kehilangan 30 kerusi Parlimen namun dapat diselamatkan dengan undi awal dan undi pos.

“Tambahan peraturan tidak jelas dan legap yang pada gilirannya menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan kotak undi, pemilihan undi, kerahsiaan pemilih dan kebanyakannya integriti SPR,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Pada 23 Oktober 2017, SPR telah meluluskan permohonan pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang berkhidmat semasa PRU-14 akan datang untuk membuang undi melalui pos.

Pada April tahun lepas, BERSIH 2.0 melancarkan kempennya untuk menghapuskan pengundian pos disebabkan oleh undang-undang dan peraturan yang tidak jelas dan legap pada gilirannya menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan kotak undi, pemilihan undi, kerahsiaan pemilih dan kebanyakannya integriti SPR.

Maria Chin juga mendakwa, pengundian pos semakin tidak telus apabila SPR didakwa menyembunyikan kategori penjawat awam secara senyap-senyap diwartakan sebagai pengundi pos pada tahun lepas.

“Kategori baharu pengundi pos penjawat awam itu ialah Jabatan Penjara Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penguatkuasaan Maritim, Pekerja kesihatan kerajaan yang bekerja di institusi kesihatan kerajaan, Rizab Sukarelawan Polis Diraja Malaysia, Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen, Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan dan Jabatan Pendaftaran Negara,” dakwanya.

Katanya lagi, SPR tidak sewajarnya meluaskan kategori baharu penjawat awam yang layak sebagai pengundi pos susulan akses peti undi dan pemantauan pemilihan oleh anggota keselamatan itu dihadkan kepada wakil pembangkang.

“SPR tidak perlu memperluaskan kategori baru untuk pengundian pos, terutamanya apabila ada kaedah lain dilupuskan untuk menguasai kumpulan pengundi ini dan bukannya menggunakan rangka kerja yang bermasalah dan samar-samar.

“Jabatan kerajaan layak undi pos itu mempunyai populasi besar dan ini boleh memenangi pilihan raya di kerusi kecil memihak kepada kerajaan semasa, di bawah keadaan yang dicadangkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast