Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (dua kiri) diiringi Pengerusi Suara Anak Muda 1 Malaysia, Datuk Armand Azha Abu Hanifah (tiga kiri) melawat pameran permainan komputer pada Majlis Perasmian Cyber Game Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengiktiraf permainan cyber games atau e-sukan sebagai industri baharu negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, permainan itu yang diminati oleh majoriti generasi muda di negara ini bukan sekadar gaya hidup, sebaliknya ia boleh menjana sebagai industri ekonomi digital.

“Ini industri baharu untuk Malaysia. Kita mesti sediakan orang kita (generasi muda) supaya jadi penjana, pembekal dan pelaku aktif dalam cyber games,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan edisi kedua Malaysia Cyber Games 2018 (MCG18) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan sangat prihatin dengan kehendak rakyat dan disebabkan itu penganjuran MCG18 ini akan tetap disokong.

Dalam pada itu, Najib turut mengiktiraf MCG sebagai persatuan mewakili industri e-sukan di negara ini.

“Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memenuhi keperluan generasi muda dan tidak hanya melihat e-sukan sebagai gaya hidup.

“Pendek kata kita mesti memberi fokus terhadap masa depan, berorientasikan golongan muda dan memahami perkembangan digital. Kita adalah kerajaan yang mewakili generasi muda,” katanya.

Najib berkata, kerajaan sentiasa menerima perubahan dan ia membawa kepada pengenalan Dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Kita menerima perubahan, ekonomi digital dan revolusi digital. Inilah gaya hidup orang muda hari ini,” katanya.

MCG18 disokong Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan edisi pertama di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 12 dan 13 Disember 2015 menerima sambutan hangat lebih 7,000 pengunjung.

Hadir sama pada program itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak; Pengasas Malaysia Book of Records (MBR), Tan Sri Danny Ooi dan Presiden Kelab Suara Anak Muda 1Malaysia, Datuk Armand Azha Abu Hanifah.

Najib turut menyaksikan pengiktirafan MCG18 dalam Malaysia Book of Records sebagai penganjuran permainan video terbesar di negara ini dengan mempertandingkan sembilan permainan video dan menerima 2,062 peserta.

MCG18 dianjurkan Suara Anak Muda 1Malaysia dan Briged Kesatria dengan kerjasama Tune Advertising Sdn Bhd menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM300,000. – MalaysiaGazette