Yeo Bee Yin
Yeo Bee Yin

KUALA LUMPUR – Wanita DAP menjelaskan syarikat suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh belum diberi kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh Kerajaan Selangor.

Timbalan Ketua Wanita DAP, Yeo Bee Yin sebaliknya berkata, Asia Mobility Technologies Sdn Bhd itu adalah satu daripada dua syarikat yang dilantik untuk proses pembuktian konsep (POC) untuk dilaksanakan selama sembilan bulan terlebih dahulu.

Ahli Parlimen Puchong berkata, beliau telah dijemput oleh Exco Selangor, Ng Sze Han bagi mencuba projek perkhidmatan bas atas permintaan yang dimulakan di Kinrara itu sebelum ini.

“Kerajaan tidak memilih satu syarikat sebaliknya memberi kelulusan bukti konsep projek perintis kepada dua-dua syarikat di mana hanya mereka di Malaysia memiliki kepakaran dalam projek itu dan memiliki lesen bas itu.

“Kedua-duanya telah dilantik untuk proses bukti konsep selama sembilan bulan dan selepas itu, Kerajaan Negeri akan tengok sama ada mereka boleh buktikan konsep bas atas permintaan ini boleh mengurangkan operasi berbanding perkhidmatan bas Smart Selangor ketika ini.

“Dalam isu lantikan bukti konsep, kerajaan negeri tidak menyebelahi mana-mana syarikat sebaliknya memilih kedua-dua yang mempunyai kepakaran di negara ini.

“Ini adalah cerita keseluruhan mengenai Projek Rintis DRT dan pelantikan kedua-dua syarikat ini adalah peluang untuk membuktikan kemampuan mereka,” katanya.

Minggu lalu, Sze Han, menyatakanAsia Mobility Technologies Sdn. Bhd. adalah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT.

Turut dilantik adalah BadanBas Coach Sdn Bhd di mana  edua-dua syarikat itu juga sudah mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Ketua Pegawai Eksekutif Asia Mobility ialah suami Hannah iaitu Ramachandran Muniandy.

Sze Han sebelum ini menjelaskan Asia Mobiliti akan beroperasi di sekitar Ampang, Hulu Kelang, Puchong dan UPM-Serdang, manakala BadanBas beroperasi di Subang Jaya, Petaling Jaya Utara, Petaling Jaya Selatan dan Sungai Buloh.

Peruntukan daripada Kerajaan Selangor turut digunakan untuk membolehkan pengguna membayar kadar tetap RM2 bagi setiap perjalanan.

Sistem DRT dibangunkan bertujuan menggantikan kemudahan Bas Smart Selangor di kawasan berkepadatan tinggi dan laluan sempit bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam utama seperti tren dan bas.

Projek Rintis DRT ini dilaksanakan oleh Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) dan dikawal selia oleh Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec) selaku syarikat milikan penuh MBI.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes membabitkan pemberian kontrak Projek DRT oleh Kerajaan Selangor kepada suami Hannah.

Beliau berkata, jika ada laporan yang dibuat, maka biar pihak berkuasa lakukan siasatan.

Kelmarin, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan tidak mengesan sebarang percanggahan kepentingan dalam pemberian kontrak DRT oleh kerajaan Selangor kepada syarikat milik bersama suami Hannah itu.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, berkata berdasarkan pemerhatiannya dalam pemberitaan di media, projek berkenaan diberikan oleh entiti lain yang tidak mempunyai kena mengena dengan Hannah. – MalaysiaGazette