Menteri Kesihatan merangkap Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam (dua kiri) diiringi Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Naib Presiden MIC, Datuk M. Saravanan (kiri) melihat tarian tradisional semasa Majlis Sambutan Ponggal MIC Kebangsaan di Ibu Pejabat MIC, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 15 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – MIC akan tetap bertanding untuk sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi Dewam Undangan Negeri (DUN) miliknya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Itu termasuk kerusi Parlimen Cameron Highlands yang merupakan antara kerusi tradisi serta selamat Barisan Nasional (BN) selama ini dan kini menjadi rebutan antara rakan komponen.

Menurut Presiden MIC, Datuk Dr S. Subramaniam, MIC komited dan bertegas akan bertanding pada sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi DUN yang pernah ditandinginya sekali lagi pada PRU nanti tanpa sebarang kesangsian.

Malah, beliau turut melahirkan rasa lega serta berterima kasih kepada Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang turut mencadangkan kerusi Cameron Highlands diberikan kepada MIC.

“Dengan saranan yang diberikan oleh Adnan Yaakob, spekulasi serta kontroversi yang sedang melanda siapakah yang layak diberikan kerusi Cameron dalam kalangan komponen BN terjawab. Kita juga ada sokongan tidak berbelah bahagi.

“Kita berterima kasih dengan cadangan itu dan ianya sedikit sebanyak menyelesaikan isu terbabit berikutan dari awal lagi pendirian  MIC kerusi adalah kuota kita,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Ponggal MIC peringkat kebangsaan di Ibu Pejabat MIC di sini, malam tadi.

Jelas Subramaniam yang juga merupakan Menteri Kesihatan dan Ahli Parlimen Segamat, Cameron Highlands adalah kerusi tradisi parti itu sejak sekian lama walaupun beberapa parti komponen BN pernah menyuarakan hasrat untuk bertanding di kawasan berkenaan.

“Kita berpegang teguh dan berpendirian tegas untuk bertanding semua kerusi tradisi MIC pada PRU kali ini tanpa sebarang perubahan, itu kita pasti,” tegasnya.

Perebutan ‘kerusi selamat’ BN itu terus berlaku antara Pengerusi MyPPP Tan Sri M. Kayveas dan Penyelaras Cameron Highlands merangkap Ketua Pemuda MIC, Datuk C. Sivarraajh.

Penyandangnya, Datuk Seri G. Palanivel merupakan bekas Presiden MIC sebelum diisyitihar menjadi Ahli Parlimen Bebas selepas hilang keanggotaanya dalam parti semasa krisis MIC pada 2015.

Sebelum itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri SK Devamny yang juga Timbalan Presiden MIC pernah menang dua kali berturut-turut  di Cameron Highland iaitu pada PRU 11 dan 12. – Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast