KUALA LUMPUR – Malaysia dan Singapura akan melantik syarikat infrastruktur (InfraCo) masing-masing untuk membiayai, membina, memiliki, menyelenggara dan memperbaharui infrastruktur awam dan stesen Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura di wilayah masing-masing.
Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) akan menjadi InfraCo Malaysia manakala Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura adalah InfraCo bagi negara tersebut.
Menurut kenyataan LTA, kedua-dua kerajaan secara bersama akan melantik syarikat operasi (OpCo) bagi memiliki, mereka, membina, membiayai, mengendali, menyelenggara dan memperbaharui aset operasi RTS seperti tren, landasan dan sistem.
OpCo akan membayar fi konsesi kepada kedua-dua negara dalam pertukaran hak untuk mengutip tambang daripada opeasi RTS, katanya.
“Tambang akan ditentukan secara komesial oleh OpCo dan tidak dikawal selia oleh kedua-dua kerajaan,” kata kenyataan yang dikeluarkan LTA sempena majlis pemeteraian perjanjian RTS antara Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan LTA.
Pada majlis yang disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Singapura, Lee Hsien Loong itu, Malaysia diwakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan manakala Singapura diwakili Menteri Penyelaras Infrastruktur yang juga Menteri pengangkutan, Khaw Boon Wan.
Menurut LTA, kedua-dua kerajaan bersetuju untuk tempoh konsesi pertama, yang meliputi jangka masa 30 tahun pertama operasi, OpCo dilakukan secara usahasama antara sebuah syarikat Malaysia dan sebuah syarikat Sinagpura.
“Kedua-dua kerajaan mengalu-alukan pertukaran surat antara Jabatan Perdana Menterti Malaysia, Prasarana Malaysia Berhad, LTA dan SMRT Corporation Ltd. yang menyatakan komitmen mereka untuk Prasarana dan SMRT membentuk syarikat usahasama (JV) menjadi OpCo bagi tempoh konsesi pertama.
“Syarikat-syarikat terbabit komited untuk menubuhkan JV menjelang 30 Jun 2018 dan menandatangani perjanjian konsesi pada 30 September 2018,” katanya.
Konsesi berikutnya akan dilakukan menerusi tender terbuka, jelas kenyataan itu.
Menurut LTA, RTS berkeupayaan membawa 10,000 penumpang sejam untuk perjalanan sehala, atau 60,000 pengguna menyeberangi Tambak Johor sejam untuk perjalanan sehala semasa waktu puncak.
Tambahnya, keupayaan membawa 10,000 penumpang sejam itu adalah lebih tinggi daripada keupayaan perkhidmatan Shuttle Tebrau kendalian Keretapi Tanah Melayu Bhd. KTM).
Katanya, perkhidmatan tersebut mempunyai purata kapasiti membawa 300 penumpang sejam sehala pada hari ini.
“Perkhidmatan Tebrau Shuttle akan dihentikan selepas enam bulan RTS memulakan perkhidmatannya, yang disasarkan pada Disember 2024,” katanya.
RTS yang menghubungkan stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dan stesen Woodland North di Singapura akan menyeberangi Tambak Johor menerusi jambatan setinggi 25 meter.
Bagi kemudahan aliran penumpang, kemudahan kastam, imigresen dan kuarantin akan ditempatkan di Bukit Chagar dan Woodland North dengan penumpang perlu melalui kemudahan tersebut di kedua-dua negara. – MalaysiaGazette