KUALA LUMPUR – Kehadiran hampir 10,000 golongan wanita muda ketika majlis Pelancaran Sahabat Puteri BN atau AZALEA 2018 menjadi bukti sokongan kumpulan itu masih berpihak kepada kerajaan.
Ini sekaligus telah menidakkan tanggapan negatif segelintir pihak kononnya golongan pengundi muda lebih banyak berpihak kepada pembangkang dan anti kerajaan.
Ketua Puteri MIC Kebangsaan, Guna Sundari Ramayah berkata, golongan muda selama ini sentiasa dijadikan ‘mangsa’ kerana senang dimanipulasi oleh pembangkang untuk terus membenci kerajaan.
Bagaimanapun, menurut Guna Sundari, setelah hampir dua pilihan raya umum yang membawa kemenangan besar kepada pembangkang tetapi segala janji yang ditabur tidak ditunaikan.
“Memang mudah untuk manipulasi dan mengapi-apikan terutamanya golongan muda yang masih belum layak untuk mengundi untuk terus dijadikan mangsa dan aset oleh pembangkang bagi menyebarkan politik kebencian.
“Tetapi kini semuanya telah berubah, masing-masing telah celik dan nampak apakah sebenarnya sumbangan pembangkang yang tidak lebih daripada hanya bercakap seperti tin kosong sahaja.
“Kini golongan ini juga nampak apa sebenarnya yang dilakukan oleh kerajaan bagi memberikan kehidupan yang terbaik kepada setiap rakyat di negara ini. Saya yakin dan nampak sokongan terhadap lambang ‘dacing’ sudah meningkat berbanding dahulu,” katanya kepada Malaysia Gazette.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysia Gazette selepas majlis pelancaran Azalea 2018 di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana.
Azalea 2018 yang dilancarkan buat kali pertama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merupakan inisiatif oleh Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin untuk menyiap siaga golongan wanita muda bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.
Jelas Guna Sundari, Puteri MIC yang sentiasa bekerjasama dengan Puteri BN yang lain khususnya UMNO sentiasa mendapat tunjuk ajar daripada Mas Ermieyati dalam memenangi kembali keyakinan golongan muda di negara ini.
“Kita sentiasa tampil dengan program-program kesedaran yang banyak memberi maanfat kepada wanita muda bukan sahaja tentang keperluan mereka malah tentang kapasiti yang dimiliki oleh mereka untuk kehidupan serta masa depan lebih baik.
“Kami juga banyak menerapkan kesedaran kepada mereka tentang sumbangan dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk menaiktaraf kehidupan golongan muda khasnya wanita.
“Mereka perlu tahu sebenarnya, peranan besar yang perlu dimainkan oleh wanita muda dalam pembangunan sesebuah negara. Kami di dalam Puteri BN akan terus ‘all out’ bagi memastikan kemenangan besar pada PRU depan” ujarnya.- MalaysiaGazette