Home Ekonomi Dagangan negara sederhana tahun ini

Dagangan negara sederhana tahun ini

Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Dagangan Malaysia dijangka meneruskan momentum pertumbuhannya, namun pada tahap sederhana tahun ini disebabkan unjuran asas yang lebih tinggi pada 2017.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, walaupun angka perdagangan tahun ini dijangkakan besar, peratusan pertumbuhannya diunjur lebih kecil berbanding tahun lepas dengan prestasi perdagangan 2017 diunjur sebanyak RM1.8 trilion.

“Jika kita buat perbandingan bagi angka perdagangan,  2017-2016 boleh dianggap rendah, dengan prestasi 2016 hanya mencatat kira-kira RM1.4 trilion nilai dagangan.

 “Tahun ini, asas perbandingan  (2017) dijangkakan sebanyak RM1.8 trilion. Angka ini besar, namun peratusan pertumbuhan rendah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Hari Eksport 2018, acara untuk pengeksport dan agensi berkaitan perdagangan untuk menjalin rantaian, di sini hari ini.
Beliau berkata, prestasi dagangan tahun ini akan disokong oleh petunjuk ekonomi domestik dan global yang kukuh.

Sementara itu, Mustapa berkata pengukuhan ringgit tidak memberi impak besar ke atas prestasi eksport memandangkan hanya beberapa syarikat menggunakan mata wang tempatan untuk berdagang.

“Kita jangka tidak ada kesan yang besar (bagi eksport), akan ada beberapa industri yang akan terjejas sedikit (disebabkan pengukuhan ringgit) seperti sesetengah syarikat perusahaan getah yang mengeksport menggunakan mata wang  ringgit, dan menambah ringgit yang lebih kukuh bagaimanapun akan memberi  impak besar ke atas jumlah dagangan tahun ini.

Dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Hari Eksport 2018 bermatlamat memberi maklumat kepada syarikat tempatan mengenai peluang eksport terkini di seluruh dunia, strategi untuk memenangi permintaan global serta isu semasa dalam perdagangan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros berkata, acara itu memperkukuh usaha Matrade untuk mewujudkan platform kondusif bagi komuniti perniagaan Malaysia bagi menyepadu dan memanfaatkan pengalaman masing-masing dalam perniagaan dan keusahawanan global.

“Komuniti perniagaan tempatan perlu bertemu untuk bertukar-tukar maklumat dan yang penting mengenal pasti kelainan yang boleh mereka lakukan untuk membantu mereka menjadi juara eksport,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast