PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan jumlah RM1.1 bilion adalah suntikan dana yang akan dijadikan modal pinjaman kepada Sapura Energy Berhad (SEB) sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula syarikat itu.
Beliau berkata, jumlah itu juga adalah untuk membantu dan menyelamatkan pekerja tempatan yang telah sekian lama tidak menerima bayaran bagi perkhidmatan mereka.
Jelasnya, ia juga agar supaya pengurusan baharu SEB akan diurus dengan lebih baik dan mendapat keuntungan untuk membayar semula dana RM1.1 bilion suntikan dana dalam bentuk pinjaman.
“Suntikan modal ini juga penting untuk menyelamatkan ekosistem industri minyak dan gas tempatan. Amat penting untuk ditegaskan bahawa suntikan modal ini juga tidak sama sekali memanfaatkan pemegang saham atau pengurusan SEB.
“Dalam penstrukturan semula SEB, pemegang saham utama sebelum ini tidak lagi terlibat dalam pengurusan SEB. Pengurusan baharu profesional telah dilantik untuk melaksanakan penstrukturan semula SEB,” katanya pada Majlis Perjumpaan Warga Kementerian Kewangan & Agensi, di sini, hari ini.
Anwar menambah, proses audit telah dilaksanakan dan ketekunan wajar (due diligence) tambahan akan dilaksanakan sebagai prasyarat dalam memuktamadkan penstrukturan semula dan suntikan modal RM1.1 bilion.
“Selanjutnya, dapatan due diligence ini akan dikongsikan kepada agensi penguatkuasaan berkenaan seperti Suruhanjaya Sekuriti sama ada tindakan perlu diambil ke atas mana-mana pihak.
“Kerajaan Madani tetap mengutamakan ketelusan dan amalan tatakelola baik dalam pengurusan dan penstrukturan semula SEB telahpun melalui kelulusan pemiutang serta proses mahkamah.
“Suntikan kerajaan bukannya geran tetapi merupakan pelaburan ke arah memulihkan ekosistem minyak dan yang strategik untuk ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas majlis itu berakhir. – MalaysiaGazette
















