KUALA SELANGOR, 31 Jan -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendengar penerangan Pengerusi Kuil Sri Subramaniar Swamy Mohanasundaram (tiga, kiri) ketika melihat model cadangan Kompleks Masyarakat pada Majlis Mesra Rakyat sempena sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy hari ini. Turut hadir Presiden MIC yang juga Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam (dua, kanan) dan Anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Immohizam Ibrahim (kiri) --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA SELANGOR – Agenda penting kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk meningkatkan taraf kehidupan dan memajukan masyarakat India di negara ini adalah satu usaha yang berterusan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata perkara itu tidak boleh dicapai dalam tempoh sehari dua kerana ia bukan sahaja melibatkan soal pembangunan fizikal malah perubahan struktur kehidupan kaum berkenaan.

“Mengubah sikap dan nilai serta mengukuhkan asas masyarakat India adalah satu usaha berterusan. Saya bersetuju dengan ucapan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam bahawa masyarakat India akan lebih maju ke hadapan sekiranya mereka mengukuhkan perpaduan sesama mereka.



“Ini cabaran yang kita hadapi tetapi saya yakinkan anda bahawa dengan kerajaan BN, ada harapan untuk kita. Apa yang kita perlukan adalah sokongan dan kepercayaan anda untuk membolehkan kerajaan BN memberi yang terbaik.

“Kita bukan omong-omong kosong atau dalam Bahasa Tamil ‘vetti pecchu’, sebaliknya ia adalah kenyataan atau ‘nijjam’. Kami, kerajaan BN akan menunaikan apa sahaja yang kami janjikan kepada semua rakyat Malaysia…ini jaminan kerajaan BN,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan perayaan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy di sini hari ini.

Selain Dr Subramaniam, turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar dan anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

Najib berkata agenda kerajaan BN dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat India diterjemahkan menerusi Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia yang dilancarkan pada April tahun lepas.

Ujar perdana menteri, beliau juga telah mengumumkan peruntukan RM50 juta kepada Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India yang dikendalikan Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC), peruntukan RM50 juta untuk pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan peruntukan RM50 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan serta baik pulih sekolah-sekolah Tamil.

Selain itu, perdana menteri berkata kerajaan turut mengumumkan inisiatif baharu yang mana Permodalan Nasional Berhad akan membuat pengagihan khas RM1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia untuk masyarakat India, terhad kepada 30,000 unit setiap pelabur.

Pada Februari pula, saya akan lancarkan skim pelaburan khas untuk golongan isi rumah B40 yang akan menambah simpanan 100,000 isi rumah B40 kaum India, khususnya yang berada di bawah garis kemiskinan.

Najib seterusnya berkata beliau faham masyarakat India mahukan pendidikan berkualiti buat anak-anak dan peluang ekonomi selain penyelesaian dalam soal kerakyatan dan sebagainya.

“Sebab itu saya jamin bahawa hak kebebasan beragama dan rasa hormat-menghormati kepada mereka yang beragama lain khususnya kaum India akan tetap dijaga oleh kerajaan BN, katanya disambut tepukan gemuruh kira-kira 5,000 orang yang menghadiri majlis itu,” katanya.

Najib turut mengulas kehadirannya di Kuil Sri Subramaniar Swamy Kuala Selangor untuk sambutan Thaipusam.

“Saya ingin ambil kesempatan bertemu anda yang merupakan masyarakat tempatan di Kuala Selangor. Saya juga ingin lihat kemajuan di persekitaran kawasan ini sebab sebagai kerajaan BN, saya selalu tekankan bahawa pembangunan kita mestilah adil, saksama dan inklusif,” jelas beliau.

Beliau dalam pada itu memberi jaminan bahawa kerajaan akan memberi peruntukan tambahan untuk pembangunan kuil berkenaan sekiranya anggota jawatankuasa kuil berjaya mengumpul sejumlah dana.

Pengerusi kuil ini, T. Morgana Sundram maklumkan bahawa mereka perlukan kos RM3 juta untuk pembangunan kuil dan beliau kata boleh dapatkan dana RM1.5 juta. Saya cabar beliau jika berjaya dapatkan dana RM1.5 juta itu, kerajaan akan tambah RM1.5 juta lagi, katanya.- BERNAMA