KUALA LUMPUR – Kempen undi rosak dan sejumlah 3.6 juta pengundi layak tidak berdaftar merupakan manifestasi rakyat yang sudah letih dan muak dengan politiking pemimpin-pemimpin dari parti kerajaan dan pembangkang.
Politiking yang terlampau kuat sejak pilihan raya lalu kini semakin memuncak menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 ini.
Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, kedua-dua isyarat itu bukan sesuatu yang baik untuk sistem demokrasi negara tetapi ia berlaku kerana sikap pemimpin-pemimpin parti kerajaan mahupun pembangkang.
Katanya, sikap pemimpin yang mementingkan diri sendiri seperti mahu terus berkuasa berbanding bekerja untuk parti dan negara telah menimbulkan rasa benci rakyat terutama generasi baru.
“Pada saya, pemimpin-pemimpin politik negara sudah hilang sikap sebagai negarawan-negarawan – yang mendahulukan negara dan rakyat. Sikap ini sudah tidak nampak lagi sebab terlalu kuat politiking.
“Gelagat mereka yang mahu kuasa, penting diri sendiri menimbulkan rasa benci oleh rakyat. Sebab itulah apabila timbul kempen undi rosak, 3.6 juta pengundi layak enggan mendaftar, ia adalah isyarat rakyat kepada pemimpin kerajaan dan pembangkang.
“Politik sekarang tidak lagi diimbangi politik rakyat dan pembangunan tetapi menjurus kepada politik diri sendiri, politik kuasa. Politiking menyebabkan rakyat semakin tidak menghormati demokrasi.
“Hendak salah rakyat tidak boleh kerana persekitaran politik negara semakin nazak apabila masing-masing hendak berkuasa,” katanya kepada MalaysiaGazette
Teo berkata, rakyat sekarang semakin bijak menilai, melihat, memantau dan meneliti kerana mempunyai banyak akses untuk mengetahui apa yang sebenar berlaku di persekitaran mereka.
Beliau menambah, disebabkan terlalu politiking, pemimpin kerajaan dan pembangkang seolah-olah sudah tidak tahu peranan masing-masing yang sebenarnya memerlukan antara satu sama lain dalam sistem politik.
Lantaran itu, sistem politik negara semakin ‘mengila’ sehingga ada yang kelihatan kurang matang, tidak rasional dan logik.
“Dalam sistem politik perlu ada parti pemerintah dan pembangkang. Setiap satu ada peranannya untuk rakyat dan negara bukan individu semata-mata. Tetapi di Malaysia, parti-parti politik lebih menjurus kepada individu dan kuasa. Ini namanya politik gila.
Membayangkan politiking dalam kalangan ahli-ahli politik kerajaan dan pembangkang semakin memuncak menjelang pilihan raya, beliau berharap perlakuan itu dapat diakhiri selepas berlangsungnya pilihan raya nanti.
“Walaupun akan ada parti politik itu akan survive selepas pilihan raya nanti tetapi perlu diingat terlalu politiking akan hanya menghancurkan imej negara dan kehidupan rakyat tidak terbela sepenuhnya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette