Seorang anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menyaman pemilik kereta yang meletakkan kenderaannya di laluan basikal di Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 1 FEBRUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Pelbagai usaha dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memastikan kemudahan dan infrastruktur berkelas dunia untuk kegunaan orang ramai di ibu kota, namun sebaliknya segelintir warga kota mengambil sikap sambil lewa.

Tinjauan MalaysiaGazette sekitar Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Wilayah hari ini mendapati masih terdapat segelintir orang ramai yang degil dan tidak mematuhi peraturan apabila ada antara mereka yang meletak kenderaan sesuka hati.

Dua lokasi laluan basikal yang ditinjau wartawan dan jurugambar yang tidak jauh daripada pejabat DBKL mendapati beberapa kereta dan motosikal meletak kenderaan mereka betul-betul di atas garisan laluan biru yang sepatutnya digunakan untuk mereka yang berbasikal.

Kereta dan motosikal ditinggalkan sewenang-wenangnya di Leboh Pasar berdekatan Dataran Merdeka, kelihatan penguatkuasa DBKL juga sedang meletak surat saman atas kenderaan tersebut.

Beberapa buah motosikal dan kereta yang diletakkan di laluan basikal di Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 1 FEBRUARI 2018.

“Macam ini lah bang, saman dah kerap pun masih ada yang letak kereta dan motor sesuka hati mereka… bukan mereka tak tahu laluan biru ini untuk sesiapa yang guna basikal,” kata penguatkuasa DBKL yang tidak mahu namanya disiarkan.

Tindakan pemilik kereta dan motosikal itu bukan sahaja mengganggu pengguna jalan raya lain sehingga  menyebabkan kesesakan, malah mengundang bahaya kepada pengguna basikal yang terpaksa mengelak kenderaan disitu dan bersesak-sesak dengan pengguna jalan raya lain.

Dalam pada itu, tinjauan di Bangunan MARA, Jalan Raja Laut juga mendapati situasi sama apabila terdapat kereta yang ditinggalkan atas laluan biru basikal dan tiada pemandu di dalamnya.

Lebih menghairankan, hari ini merupakan cuti umum dan sepatutnya masalah tempat meletak kenderaan penuh tidak timbul, malahan suasana di sekitar Kuala Lumpur juga tidak sesak seperti hari-hari biasa.

Seorang anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengeluarkan saman ke atas sebuah van yang diletakkan di laluan basikal di Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 1 FEBRUARI 2018.

Selain itu, teksi juga dilihat menurunkan penumpang di laluan biru basikal dengan sewenang-wenangnya.

Laluan basikal sepanjang 11.9 kilometer disediakan oleh DBKL dan ia dicat dengan warna biru bertujuan untuk memberi kemudahan kepada pengguna basikal dalam bandar Kuala Lumpur, khususnya untuk kegunaan para pelancong.

Pembinaan laluan tersebut menelan belanja RM4 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast