Dua pegawai PBT direman bantu siasatan minta dan terima rasuah berjumlah RM54,000.

GEORGE TOWN – Dua pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) direman tiga hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah berjumlah RM54,000 sebagai balasan meluluskan permohonan lesen penjaja sementara sempena Tahun Baharu Cina, tahun lalu.

Perintah reman dikeluarkan Hakim Juraidah Abbas terhadap suspek, masing-masing berusia 35 dan 62 tahun selepas permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Mahkamah Sesyen Jenayah 1, di sini.

Tempoh reman sehingga Jumaat ini dibenarkan bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat SPRM mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Masing-masing mereka direman selama tiga hari.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap SPRM berwarna jingga tiba di pekarangan mahkamah jam 8.49 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.

Sementara itu, sumber berkata, kedua-dua suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM kira-kira jam 2.30 petang semalam.

“Tangkapan itu dibuat susulan wujud dakwaan mereka menerima rasuah daripada seorang individu yang memohon Lesen Penjaja Sementara Tahun Baharu Cina 2024,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast