Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar bergambar dengan sebahagian peserta larian UMNO yang memasuki negeri Selangor sempena sambutan Hari UMNO ke 71 di hentian Rehat dan Rawat (RNR) Gombak. foto SAFWAN MANSOR, 09 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Umum mengetahui UMNO dan Barisan Nasional (BN) tewas di beberapa negeri khususnya di kawasan bandar dan pinggir bandar disebabkan ‘tsunami Cina’ yang beralih arah secara besar-besaran kepada pembangkang.

Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Kelantan antara lima negeri yang ditawan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 dan ia sudah pasti menjadi satu tamparan hebat kepada UMNO dan BN sebagai parti pemerintah.

Meskipun Perak dan Kedah kembali ke pangkuan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 2013, dengan pertambahan 11 kerusi Parlimen tambahan kepada UMNO.

Namun pemimpin dan jentera UMNO BN tidak boleh ‘duduk selesa’ dan cepat berpuas hati dengan keputusan itu kerana negeri termaju di Malaysia iaitu Selangor masih sukar ditembusi malah menjadi kubu kuat pembangkang.

Kemajuan Selangor tidak dapat disangkal lagi, hasil ‘air tangan’ pemimpin BN terdahulu malah kini konsisten sebagai penyumbang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Mengikut laporan KDNK yang dikeluarkan Jabatan Statistik Malaysia pada 6 September 2017, Selangor menjadi penyumbang paling besar sebanyak 22.7 peratus, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (15.3%) dan Sarawak (9.8%) sepanjang 2010 hingga 2016.

Meskipun kemajuan dan kemakmuran Selangor adalah hasil usaha pemimpin UMNO dan BN terdahulu, namun jasa mereka cuba dinafikan oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH), lebih-lebih lagi selepas mereka berjaya mempertahankan Selangor pada PRU13 lalu.

Sudah tiba masanya pemimpin UMNO dan BN Selangor perlu duduk semeja, bermuhasabah diri dan kembali bersatu padu untuk memenangkan calon mereka pada PRU14.

Kekalahan UMNO dan BN dalam PRU13 yang antara lain disebabkan oleh perpecahan akar umbi parti dan unsur sabotaj calon perlu dihentikan serta-merta pada PRU14.

Meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih berteka-teki memilih tarikh sesuai untuk mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU14, namun pemimpin dan jentera perlu menyelesaikan masalah dalaman mereka terlebih dahulu.

Menurut sumber dalaman MalaysiaGazette, PRU14 bakal menjadi penentu kepada status ‘tuan rumah’ di Selangor sama ada kekal di tangan PH atau kembali kepada UMNO dan BN jika pemilihan calon tidak dimonopoli oleh ketua bahagian atau mereka berjawatan dalam parti.

Sumber MalaysiaGazette juga memberitahu, tindakan ‘mencantas’ calon parti pada saat akhir khususnya dalam kalangan muka baharu dan pemimpin muda perlu dihentikan serta-merta jika mahu negeri maju itu kembali di tangan UMNO dan BN.

Formula diguna pakai Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang melepaskan ‘tiket’ menjadi calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar pada 18 Jun 2016 perlu dijadikan contoh dan ikutan oleh semua pemimpin parti di negeri itu.

Orang tempatan, muka baharu, pemimpin muda, bebas kontorversi dan tiada salah laku, antara ciri-ciri calon yang telah memenangkan BN, daripada kerusi marginal, kini menjadi kubu kuat UMNO BN dengan majoriti 9,191 undi.

Kelebihan BN itu juga turut disumbang daripada perpecahan pembangkang selepas Pas memutuskan tahaluf siyasi dengan Pakatan Rakyat hingga terbubar gabungan ini.

Meskipun Parti Amanah Negara (PAN) cuba mengisi kelompongan yang ditinggal Pas selepas mewujudkan PH sebagai gabungan pembangkang baharu, namun PRK Sungai Besar membuktikan rakyat kini mula kembali kepada UMNO dan BN.

Terpulang kepada pucuk pimpinan UMNO BN untuk menentukan siapa calon paling layak menggalas tanggungjawab penting merampas semula Selangor di tangan PH.

PRU14 boleh menjadi ‘kubur’ kepada UMNO BN di Selangor sekiranya masalah dalaman seperti tindakan sabotaj calon dan amalan melobi masih membarah serta dibiarkan berleluasa tanpa memikirkan kemenangan parti melebihi daripada kepentingan diri sendiri. – MalaysiaGazette