Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi memuji komitmen  Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi yang telah membawa pelbagai perubahan sejak memegang jawatan itu.

Zahid Hamidi berkata, Wan Junanidi bukan sahaja seorang pemimpin berdedikasi tinggi dalam bidang diceburi, malah sejak mengambil alih jawatan itu daripada menteri terdahulu, beliau dilihat lebih fokus serta cemerlang.

“Wan Junaidi antara yang terbaik di Malaysia. Saya bukan kenal beliau sehari dua. Beliau juga pernah bekerja di bawah saya ketika di Kementerian Dalam Negeri sebelum ini dan di sana juga beliau sangat bertanggungjawab.

“Sebelum ini, ada seorang ‘menteri’ yang saya tidak mahu sebut nama di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Ketika musim jerebu teruk melanda negara ini, Perdana Menteri ada bertanyakan kepada beliau bagaimana keadaan terkini.

“Dengan kelam kabut, Menteri itu melihat ke luar tingkap dan kemudian berkata, ‘it’s ok sir’. Itu sahaja. Apa punya jawapan? Jawapan itu sebenarnya mengejutkan semua yang ada di situ. Janganlah buat malu seperti ini. Sebagai Menteri, anda perlu tahu semua maklumat seperti itu di hujung jari. Semua statistik dan sebagainya.

“Ini berlainan dengan Wan Junaidi,  saya boleh kata anda semua (warga FRIM) sebenarnya sangat beruntung kerana beliau menerajui kementerian yang penting seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran FRIM Inc di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di sini, hari ini.

Tambah Zahid Hamidi, beliau sendiri akan ‘membisikan’ kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar mengekalkan Wan Junaidi di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) sekiranya beliau menang.

“Pada saya Wan Junaidi layak untuk terus dikekalkan di kementerian ini. Saya tahu beliau komited. Saya akan bisikan kepada Perdana Menteri supaya beliau kekal di sini.

“Bila menteri lain datang, lain pula agenda dan kepentingan mereka. Pada saya banyak perkara yang dipertahankan di sini terutamanya FRIM ini sendiri,” tegasnya.

Sebelum Wan Junaidi, jawatan tersebut diterajui oleh bekas Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel yang juga merupakan Ahli Parlimen Cameron Highlands.

Bagaimanapun, Palanivel digugurkan daripada Kabinet sekaligus hilang jawatan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar selepas rombakan Kabinet pada Julai 2015 yang turut menyaksikan Zahidi Hamidi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri. – MalaysiaGazette