Singapura masih belum menerima sebarang makluman rasmi daripada Malaysia berhubung pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) kata Kementerian Pengangkutan republik berkenaan hari ini.

MELAKA – Cadangan Universiti Teknikal Malaysia, Melaka (UTeM) menjalin kerjasama dengan Jepun dalam projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) merupakan peluang keemasan yang mampu menjadi pemangkin bagi menganjak tahap kepakaran kejuruteraan universiti itu.

Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, melalui usaha itu, tenaga pengajar UTeM dapat menimba pengetahuan menerusi penempatan dengan penggiat industri ternama, selain bekerjasama dengan pelbagai pihak terutama institusi pendidikan tinggi dan penggiat industri ternama di Jepun.

Beliau berkata, usaha kerjasama dengan Jepun, yang dikenali sebagai sebuah negara pelopor teknologi, adalah peluang keemasan yang boleh membuahkan hasil memberangsangkan bagi meningkatkan kepakaran kejuruteraan universiti itu ke tahap baharu bagi memenuhi cabaran Revolusi Industri 4.0.

Katanya,  ini dapat dilihat apabila UTeM meraih pulangan memberangsangkan terutama dalam usaha meningkatkan kepakaran, hasil kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi dan penggiat industri ternama di Jepun seperti seperti Yokoshima National University, University of Tokushima dan Konica Minolta Inc selama ini.

“Pada masa ini, 18 staf akademik menyambung pengajian di peringkat tertinggi di Jepun, malah UTeM menawarkan pengajian bahasa Jepun sebagai bahasa ketiga. Kerjasama dan semua usaha yang dilakukan ini secara langsung menyemai budaya kerja masyarakat Jepun yang terkenal dengan ketekunan dan disiplin tinggi,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Bernama baru-baru ini melaporkan Jepun menyasarkan tiga universiti tempatan, antaranya UTeM, sebagai rakan mewujudkan pusat-pusat latihan bagi melahirkan tenaga kerja mahir bagi projek HSR dan langkah itu juga menjadi teras pemindahan teknologi dan pelan pembangunan modal insan dari Jepun, sekiranya negara itu memenangi bidaan projek HSR.

Dua lagi universiti ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Ketiga-tiga universiti itu dipilih kerana terletak di dalam jajaran HSR.

Shahrin berkata, peluang mempelajari teknologi di sebalik sistem pengangkutan kereta api kelajuan tinggi Shinkansen di Jepun, antara lain membolehkan UTeM mempelajari pengurusan pengoperasian sistem kejuruteraan tinggi dengan lebih cekap dan berkesan.

Katanya, dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pusat pembangunan modal insan dan pemindahan teknologi untuk projek HSR, UTeM memerlukan lebih banyak jaringan strategik daripada pelbagai pihak menerusi jalinan kerjasama.

“UTeM juga perlu mempunyai makmal berkaitan teknologi khusus di setiap fakulti selain pembangunan infrastruktur bagi menaik taraf keupayaan makmal UTeM. Selain itu pertukaran staf antara universiti dan pemain industri juga perlu diteruskan, malah diperluas,” katanya.

Shahrin berkata projek HSR melibatkan bidang kejuruteraan utama iaitu pembuatan, elektrik, elektronik, mekanikal, teknologi kejuruteraan, dan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dengan pengajian bidang-bidang itu ditawarkan universiti tersebut.

“Bidang ini akan beroleh manfaat daripada teknologi dijana projek HSR. Pengalaman dan pendedahan baharu dalam bidang pengkhususan tertentu juga dapat ditingkatkan, contohnya, melibatkan sistem elektronik, sistem telekomunikasi, sistem kualiti, kuasa industri dan banyak lagi.

“UTeM antara lain mempunyai kepakaran kejuruteraan mekanikal. Justeru melalui teknologi baharu yang diperoleh menerusi projek HSR secara langsung meningkatkan pengalaman penggunaan teknologi baharu seterusnya meningkatkan kualiti kepakaran universiti ini,” katanya.

Projek HSR, yang merupakan usaha sama antara Malaysia dan Singapura bernilai antara RM50 bilion dan RM60 bilion itu, dijadual memulakan operasi menjelang 2026.

HSR boleh memendekkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura kepada 90 minit berbanding antara empat dan lima jam melalui jalan raya.

Mengulas mengenai persediaan UTeM, Shahrin berkata sebagai sebuah universiti bersifat teknikal, UTeM sentiasa mengambil langkah terbuka untuk menerima pemindahan teknologi baharu dalam usaha mempersiapkan universiti itu menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0.

Beliau berkata UTeM telah meletakkan fokus kepada konsep pendidikan tinggi teknikal terutamanya dalam bidang teras kejuruteraan, dan teknologi projek HSR adalah bagai ‘bersua beliung dengan sangkal’ iaitu sesuai dengan fokus yang diletakkan universiti tersebut.

“UTeM menjalin kerjasama dengan pemain industri termaju di peringkat tempatan mahupun antarabangsa dan telah membuktikan keupayaannya melaksanakan pelbagai projek berimpak tinggi khususnya untuk masyarakat setempat,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, UTeM menjalin kerjasama strategik bersama pemain industri termaju terutamanya dalam bidang teknologi tinggi antaranya Samsung, Infineon, Siemens, Lotus, STMicroelectronics dan Composites Technology Research Malaysia (CTRM).

Shahrin berkata, UTeM juga mempunyai pelbagai kepakaran teknologi kejuruteraan terutama dalam bidang tujahan utama universiti itu iaitu pembuatan termaju dan komputeran yang mampu memberi manfaat kepada projek HSR. – MalaysiaGazette