KUALA LUMPUR – Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (Kopetro) mengumumkan prestasi kewangan yang sangat memberangsangkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 dengan merekodkan jumlah pendapatan sebanyak RM344 juta, peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding 2022 yang berjumlah sebanyak RM291 juta.
Lebih membanggakan lagi, Kopetro turut mencatatkan lonjakan prestasi kewangan yang cemerlang dengan peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak 64 peratus kepada RM9.2 juta berbanding tahun 2022.
Ia sejajar dengan kenaikan permintaan produk runcit, makanan dan minuman serta pelancongan akibat pemulihan ekonomi global.
Kopetro mengumumkan agihan dividen yuran tahunan sebanyak 5 peratus, modal syer sebanyak 6 peratus, dan syer bonus 2.5 peratus kepada lebih 15,000 snggota koperasi bagi tahun 2023.
Prestasi kewangan dan pengisytiharan dividen Tahun 2023 tersebut telah diumumkan di Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kopetr yang diadakan buat kali yang ke-41.
Pengerusi Kopetro, Roslan Abdul Rahim berkata, sejajar dengan kecemerlangan KOPETRO pada tahun 2023, antara langkah yang diambil bagi meluaskan pasaran produk dan perkhidmatan Kopetro bagi tahun yang mendatang, adalah dengan membina kerjasama strategik dengan koperasi asas, Federasi Koperasi, Institut Koperasi Malaysia (IKM), Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), selain kolaborasi dengan pemain-pemain industri.
“Saya yakin, kerjasama strategik akan membawa pelbagai kebaikan dan membuka peluang baharu kepada Kopetro dan rakan niaga kami. Dengan sinergi dan kebolehan yang ada, kami berharap dapat mencapai kejayaan yang lebih besar dalam bidang perniagaan dan memberikan pulangan yang optimum kepada Anggota Koperasi,” ujar Roslan.
Jelasnya lagi, Kopetro akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan anggota melalui pelbagai manfaat, bantuan, dan produk pembiayaan yang diharap mampu memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai entiti perniagaan yang berdaya saing dan memberikan manfaat jangka panjang kepada anggotanya.
Ditubuhkan pada 30 Oktober 1980, Kopetro dianggotai lebih 15,000 kakitangan Petronas dan anak-anak syarikatnya, diiktiraf sebagai Koperasi ke-4 Terbaik di seluruh Malaysia.
Selain keanggotaan dan servis kewangan, Kopetro juga terlibat di dalam bidang Pelancongan dan riadah, makanan dan minuman juga perdagangan dan servis peruncitan, dan perkhidmatan pajak gadai patuh syariah, ArRahnukita, yang diceburi sejak tahun 2022. – MalaysiaGazette