Anak Peneroka Felda Lurah Bilut, Najwa Ahmad menunjukkan surat dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Felda Lurah Bilut, Pahang. foto IQBAL BASRI, 03 FEBRUARI 2018

BENTONG – Kehadiran pemimpin negara yang sanggup turun padang menemui rakyat sentiasa dinanti-nantikan semua pihak malah dianggap sebagai ‘rahmat’ bukan hanya bersalaman bahkan berpeluang meluahkan permasalahan mereka.

Siapa sangka sosok tubuh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang acap kali ditonton di kaca televisyen akan dilihat di hadapan mata sendiri, apabila orang yang disegani ini sudi menjadi tetamu di kediaman rakyat jelata.

Bagi anak peneroka Felda Lurah Bilut generasi ketiga, Najwa Ahmad, 30, dia tidak menyangka kediaman pusaka peninggalan kedua ibu bapanya terpilih sebagai tempat persinggahan pemimpin negara ini sempena Majlis Pelancaran Felda 2.0, hari ini.

Najwa menyifatkan kesudian Perdana Menteri menjadi tetamunya sebagai satu kejutan besar dan penghargaan khususnya kepada arwah bapanya yang berdiri teguh menyokong kepimpinan Ahli Parlimen Pekan itu ketika hayatnya.

“Langsung tak terfikir (rumah terpilih tempat persinggahan perdana menteri), bila pihak pengurusan datang, saya ingatkan sebagai usahawan kek dan bakeri dan perniagaan.

“Bila beliau memilih rumah pusaka arwah ayah dan mak ini, ia bagai satu penghormatan besar kepada kami adik-beradik.

“Kalau arwah ayah saya masih ada lagi, pasti dia sangat gembira,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di kediamannya, di Felda Lurah Bilut, di sini, hari ini.

Rumah yang akan menjadi tempat rehat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari pelancaran Felda 2.0 di Felda Lurah Bilut, Pahang. foto IQBAL BASRI, 03 FEBRUARI 2018

Najwa juga berkata, kejutan itu bukan kali pertama kerana arwah bapanya pernah dianugerahkan watikah penghargaan daripada Datuk Seri Najib Tun Razak diakhir perkhidmatannya sebagai Menteri Besar Pahang pada 1986.

“Surat ini menyatakan ucapan terima kasih kepada arwah ayah kerana menyokong beliau selama ini sehingga akhir hayatnya.

“Hari ini kami dikejutkan sekali lagi dengan kunjungan beliau ke rumah kami walaupun arwah ayah dah tak ada,” katanya lagi.

Sementara itu, Najwa mengalu-alukan inisiatif Perdana Menteri untuk mengubah imej Felda Lurah Bilut yang terkenal sebagai Felda pertama di Malaysia dalam sektor pertanian kepada Lembah Digital.

“Terasa sangat impak positifnya di mana bila adanya program lembah digital ini, dari segi pemasaran itu. Felda sendiri membantu usahawan-usahawan untuk naik.

“Sebelum ini kami tidak tahupun tentang E-Dagangan, dan website di mana usahawan boleh cipta sendiri dan boleh bangunkan perniagaan masing-masing,” ulasnya.

Najwa turut menggesa anak-anak Felda khususnya generasi ketiga yang berada di bandar agar kembali ke Felda Lurah Bilut susulan peluang pekerajaan melalui Lembah Digital sangat luas menerusi perniagaan secara dalam talian.

“Terlalu banyak peluang pekerjaan di samping dengan adanya Lembah Digital kita boleh jadikan sebagai Digital Nomad, bekerja dari rumah melalui internet dengan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi kini tersedia di Lurah Bilut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.