Prof Dr. Aishah Salleh

SHAH ALAM – Masyarakat perlu mengambil peduli hal ehwal yang berlaku di sekeliling mereka bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini seperti dera dan jenayah seksual.

Menurut Yang Dipertua Badan Amal dan Kasih (Kasih) Selangor, Prof. Datuk Dr. Aishah Salleh, sikap ambil peduli itu tidak bermakna mahu menjaga tepi kain jiran, tetapi sebagai langkah pencegahan jika yang berlaku itu membabitkan penderaan sehingga maut.

Katanya, walaupun kes dera kanak-kanak oleh ahli keluarga sehingga mati dianggap kecil dan terpencil, tetapi jika jiran dan masyarakat ada sikap peduli dengan keadaan yang berlaku, malapetaka seperti itu dapat dielakkan.

“Zaman dulu pun ada penderaan dan lain-lain kes. Ia berlarutan sehingga kini kerana tidak ada kesedaran dalam kalangan si pelaku dan masyarakat setempat.

“Sebagai masyarakat ataupun jiran, sebagai ibu bapa, guru dan pemimpin sekalipun, kita perlu memandang berat perkara ini, terutama kita mungkin terdengar kalau anak jiran selalu kena pukul, kita cuba ambil peduli.

“Jangan kata kita tidak mahu jaga tepi kain orang, kita kena ambil tahu, ambil peduli,” katanya pada program Kasih Jelajah Negeri Selangor di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Lum Hua, Sabak Bernam, semalam.

Beliau mengulas kejadian malang yang menimpa seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, maut dipercayai akibat didera bapa kandung serta ibu tirinya di Taman Vista Jaya, Lukut, Port Dickson, Khamis lalu.

Kanak-kanak itu ditemui tidak sedarkan diri kira-kira jam 11.30 malam oleh bapanya sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.

Bagaimanapun, sebaik tiba di hospital kira-kira jam 12.30 malam, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mangsa tampil membuat laporan polis.

Menurut Dr. Aishah, kejadian itu mungkin disebabkan masalah yang berkaitan dengan psikologi atau mental yang menyebabkan si pelaku terdorong untuk mendera darah daging sendiri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast