GEORGE TOWN – Polis mengesahkan terdapat dadah dalam ujian air kencing dan darah dua lelaki Nepal yang mengalami gejala letih dan lemah teruk selepas meminum kopi pracampuran perisa durian.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata hasil ujian Jabatan Kimia hari ini mendapati darah dan air kencing dua pengawal keselamatan itu yang meminum kopi yang diperoleh secara percuma itu mengandungi dadah jenis sintetik.
“Kami sudah terima laporan daripada Jabatan Kimia lewat petang ini dan berdasarkan ujian yang dijalankan memang sah terdapat kandungan dadah sintetik yang jenisnya memang ada di pasaran namun jarang digunakan (penagih dadah).
“Dadah itu memang memberi kesan seperti mana yang dialami mereka yang minum kopi berkenaan iaitu antaranya tidak sedar diri dan letih serta lemah yang teruk. Polis juga masih menunggu laporan kimia mangsa yang lain dan dipercayai akan diketahui dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam ini.
Isu kopi itu mula mendapat perhatian apabila tiga lelaki dan dua wanita mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) setelah mengalami gejala letih dan lemah yang teruk selepas mendakwa meminum kopi berperisa durian yang diperoleh secara percuma daripada orang tidak dikenali.
Selepas itu, dua lagi lelaki dimasukkan ke HPP kerana mengalami gejala yang sama selepas minum kopi pracampuran putih yang dikeluarkan syarikat yang sama dengan kopi durian berkenaan. Ujian awal mendapati kedua-dua kopi itu dipercayai dicampur dengan dadah.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, seorang warga emas maut selepas ditimpa tangki air industri yang sedang dialih untuk dimuatkan dalam sebuah kontena di rumahnya di Kampung Selamat, Tasek Gelugor dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata Ng Chai Kiah, 68, sedang mengalihkan tangki air berkenaan menggunakan forklift bersama seorang pekerjanya pada kira-kira 2.52 petang apabila tangki air itu jatuh.
“Secara tiba-tiba, tangki air itu jatuh lalu menghempap kepala mangsa dan lelaki berkenaan yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Kepala Batas dan meninggal dunia ketika dirawat. Pekerjanya tidak cedera,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata berdasarkan siasatan mangsa yang merupakan seorang peniaga hendak mengalihkan tangki air itu ke dalam kontena yang terdapat di hadapan rumahnya untuk dihantar kepada pelanggannya.
— BERNAMA