KUALA LUMPUR – Palimen Belia Malaysia sebulat suara menggesa kerajaan secara tegas tidak menyokong larangan dan perbuatan diskriminasi terhadap aktiviti import minyak sawit yang dilakukan Kesatuan Eropah (EU) ketika ini terhadap beberapa negara termasuk Malaysia.
Ahli Parlimen Belia Sabah, Nurshafiqah Zairina S Zamzaini berkata, semua negara pengeluar minyak sawit seperti Malaysia perlu mempunyai pendirian menolak persepsi negatif bahawa penanaman kelapa sawit memusnahkan hutan seperti yang dilemparkan oleh EU.
Jelas Nurshafiqah, sekatan perdagangan yang bersifat melindungi pihak tertentu, yang bercanggah dengan komitmen EU kepada Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO).
“Sebenarnya, apakah agenda disebalik sekatan ekonomi ini? Ini sebenarnya tidak lebih dan tidak bukan daripada bermotifkan politik serta penindasan secara terbuka terhadap negara membangun seperti Malaysia dan serantau yang semakin pesat membangun.
“Kita sebagai negara peneraju global penghasilan minyak sawit mapan, Malaysia memberi komitmen serius dalam mewajibkan semua pengeluar minyak sawit negara mematuhi syarat persijilan Minyak Sawit Mapan Malaysia (MPSO),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul tersebut dalam Persidangan Parlimen Belia di Dewan Rakyat di sini sebentar tadi.
Tambah Shafiqah, usaha melindungi hutan Malaysia jauh lebih berkesan berbanding kebanyakan negara Eropah di mana pengeksport kelapa sawit negara diiktiraf antara yang termaju di dunia termasuk oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Bank Dunia.
“Dari sini kita boleh simpulkan, tindakan EU sebenarnya memperlekehkan minyak sawit Malaysia sebagai perbuatan yang hina dan memperkecilkan diri sendiri kerana cuba menghasut Parlimen EU supaya menolak minyak sawit Malaysia.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Belia dari Perak, Mohd Adri Atha Mohamad berkata, hampir tiga juta pekerja dalam industri minyak sawit terkesan berikutan diskriminasi EU secara langsung.
“Sekatan terhadap industri minyak sawit sebenarnya satu penindasan kepada hampir 650,000 pekebun kecil.
“EU sebenarnya hipokrit dan cuba melakukan penjajahan ekonomi ke atas negara-negara pengeluar minyak sawit. Diskriminasi ini menjejaskan permintaan terhadap minyak sawit sebagai antara penyumbang eksport produk berasaskan komoditi terbesar dengan nilai RM71.5 bilion pada tahun lepas.
“Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas dan sewajarnya untuk memastikan untuk memastikan masa depan sektor minyak sawit Malaysia terpelihara yang juga merupakan tulang belakang dalam pendapatan negara,” ujarnya.
Sementara itu, wakil belia dari Kedah, Selvaakumaran Subramaniam telah mencadangkan kerajaan untuk menghasilkan satu akta baru yang metapkan semua peraturan secara teratur, jelas serta teliti berkaitan kelapa sawit.
“Akta ini akan menjadi satu sumber utama dan penting apabila pertikaian isu berkenaan kelapa sawit dibangkitkan. Akta ini perlu berperanan untuk menjelaskan peraturan tentang import dan eksport. Pengawalan harga jual beli dalam industri sawit.
“Dengan akta ini juga kita boleh beri penjelasan serta menghasilkan peraturan yang lebih baik tentang penebangan hutan untuk kelapa sawit. Sebelum ini, EU dakwa kita lakukan penebangan hutan secara tidak terkawal demi penanaman kelapa sawit sehingga mengakibatkan kesan rumah hijau,” tegasnya.
April tahun lalu, Parlimen Eropah meluluskan satu resolusi yang mensyaratkan hanya minyak sawit dihasilkan secara lestari boleh diimport ke pasaran EU selepas 2020.
Resolusi berkenaan yang dianggap tindakan diskriminasi EU yang mahu melaksanakan sekatan terhadap produk minyak sawit dari negara Asia itu bakal menjejaskan seramai 112,632 peneroka Felda dan pekebun kecil.-MalaysiaGazette