Home Ekonomi KWAP mahu tingkat pelaburan ESG

KWAP mahu tingkat pelaburan ESG

Wan Kamaruzaman Wan Ahmad
KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), berhasrat untuk bertukar kepada program pelaburan bertanggungjawab terhadap alam sekitar, sosial dan urustadbir (ESG).

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad mensasarkan untuk menukar 70 peratus pelaburan entiti itu kepada ESG.

“Ketika ini kami berada pada paras sekitar 50 hingga 60 peratus.

“Saya sedar julatnya agak besar tetapi kami sedang berusaha ke arah itu (70 peratus).

“Tiada tarikh akhir yang ditetapkan,” katanya semasa sidang media sempena pemeteraian Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab (PRI) yang ditunjangi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini hari ini.

KWAP merupakan dana pencen pertama di negara ini yang telah menandatangani PRI.

Sebagai signatori PRI, KWAP perlu komited untuk menyokong dan mempromosikan ESG iaitu dengan melaksanakan langkah-langkah yang menyediakan ketelusan penuh kepada pelabur termasuk melaporkan aktiviti pelaburan mereka kepada umum.

Ia perlu mengamalkan ESG yang mampu menjana pulangan lestari serta membolehkan KWAP menjalankan operasi, mentadbir pencen serta menguruskan pencen dengan cara bertanggungjawab.

Menurut Wan Kamaruzaman terdapat banyak persamaan di antara pelaburan patuh syariah yang diamalkan KWAP selama ini dengan ESG atau pelaburan bertanggungjawab.

“Pelaburan patuh syariah adalah pelaburan dalam aset sebenar atau disokong oleh aset jadi dalam masa yang sama, ia sangat-sangat bersamaan dengan pelaburan bertanggung jawab,”jelasnya.

Tambahnya, KWAP ketika ini sedang menilai semula proses-proses pelaburannya dan melihat bagaimana ESG boleh ditambah baik termasuk membangunkan produk-produk ESG.

Menyentuh mengenai perancangan KWAP tahun ini, Wan Kamaruzaman berkata, dana persaraan kedua terbesar itu berhasrat untuk melihat kembali strategi pelaburan mereka.

Antara yang telah dikenal pasti adalah untuk menambah pelaburan di luar negara. Bagaimanapun tiada butiran lanjut didedahkan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast