Home Nasional Reka bentuk bandar perlu inklusif

Reka bentuk bandar perlu inklusif

Noh Omar berucap pada Majlis Pembukaan Forum Bandar Sedunia ke-9 (WUF-9) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 FEBRUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Bandar-bandar di dunia perlu direka dengan lebih inovatif, jangka panjang, ekonomi hijau dan melindungi budaya sebagai jaminan inklusif untuk semua.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar berkata, saranan itu dibuat kerana lebih 50 peratus populasi dunia tinggal di bandar, yang mana urbanisasi diiktiraf sebagai trend transformasi terbaik pada abad ke-21 ini.

“Forum ini menyatukan semua pihak berkepentingan dari serata dunia untuk duduk semeja dan berkongsi pengatahuan dan pendapat untuk membangunkan serta menguruskan  sebuah bandar secara terancang.

“Saya sangat yakin tempat ini mewujudkan peluang sesuai untuk membincangkan komitmen, strategi dan inovasi pembangunan bandar yang perlu kita fokus, selain mengenalpasti peranan institusi, kerjasama rakan kongsi dan pelaksanaan Agenda Bandar Baharu,” katanya semasa berucap di Majlis Pembukaan Forum Bandar Sedunia ke-9 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Terdahulu beliau menyaksikan upacara menaikkan bendera PBB dan Malaysia bersempena pembukaan Forum Bandar Sedunia hari ini.

Persidangan kali ini menyaksikan penyertaan seramai 24,700 peserta daripada 192 negara, 60 menteri dan  29 timbalan menteri mewakili 61 negara seluruh dunia.

Menurut beliau, Malaysia terus komited dan menyokog pelaksanaan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan Pelan Tindakan Agenda Perbandaran Baharu (NUA) dalam memastikan bandar-bandar sentiasa selamat, inklusif, rancak dengan sistem pentadbiran yang telus.

“Kita harus memastikan semua agensi pelaksana memahami peranan mereka ke arah mencapai matlamat dan mengkordinasi segala usaha diperingkat kementerian dan serantau,” tegas beliau.

Dalam perkembangan yang sama, Noh juga memberitahu, urbanisasi merupakan agenda penting forum kali ini yang menekankan bandar-bandar di dunia ini merupakan enjin pembangunan penting dalam menjamin tempat tinggal untuk semua.

Katanya, tema forum iaitu ” Bandar 2030, Bandar untuk Semua-Melaksanakan Agenda Bandar Baharu” sangat sesuai kerana kepelbagaian masyarakat dunia mencerminkan segmen tanggungjawab setiap komuniti dalam menyumbang ke arah pembangunan bandar di masa depan. – MalaysiaGazette