Remaja berusia 16 tahun maut selepas sesat semasa pendakian di BUkit Broga semalam berjaya ditemui petang tadi.- Gambar ihsan Bomba Selangor.

KUALA LUMPUR – Polis telah mengklasifikasikan kes seorang remaja berusia 16 tahun yang ditemui maut dipercayai terjatuh di gaung kedalaman 10 meter semasa aktiviti pendakian di Bukit Broga semalam sebagai kes mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat kes orang hilang semasa menjalankan aktiviti pendakian kira-kira 4 petang semalam.

“Mangsa dikenalpasti sebagai seorang remaja lelaki Melayu berusia 16 tahun dari sebuah rumah kebajikan. Mangsa bersama seorang penjaga dan dua rakannya telah memulakan aktiviti pendakian lebih kurang 7.50 pagi dan mangsa hanya disedari hilang pukul 12.30 tengahari.

“Bertindak di atas maklumat tersebut , satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dijalankan dengan bomba termasuk Unit K9. Turut membantu dalam operasi menyelamat adalah malim gunung, renjer hutan, Pertahanan Awam dan orang awam,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Mohd Zaid, mangsa telah ditemui hari ini dalam keadaan tidak sedar diri di satu kawasan berbatu berhampiran lorong pendakian selepas lebih kurang 19 jam operasi mencari dan menyelamat dijalankan.

“Bagaimanapun, jam lebih kurang 3.40 petang pihak ambulans mengesahkan kematian dan mangsa telah dibawa ke Hospital Kajang untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut diteruskan oleh polis untuk mengetahui punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes, Sub Inspektor. Mohd Yusoff Nor di talian 019- 913 2784 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Adi Putra maut semasa beriadah di Bukit Broga