KUALA LUMPUR – Parlimen Belia Malaysia hari ini menggesa kerajaan segera bertindak menangani isu berkaitan gangguan seksual yang kini semakin menjadi-jadi di negara ini.
Ahli Parlimen Belia Pulau Pinang, Ahmad Zaki Shah Headan berkata, gangguan seksual secara fizikal dan psikologi tidak digeruni oleh pelaku berikutan ketiadaan akta ‘keras’ bagi menghukum mereka setakat ini.
Menurutnya, ketiadaan undang-undang khusus mengenai gangguan seksual juga menghalang mahkamah daripada mengendalikan kes-kes yang sama.
“Gangguan seksual ialah sebarang tingkah laku bersifat seksual yang tidak diingini, merangkumi ganguan secara lisan, visual, psikologi atau fizikal. Wanita diganggu secara seksual di jalan, dalam pengangkutan awam dan terutamanya di tempat kerja.
“Daripada segi undang-undang tiada kesalahan yang jelas dalam gangguan seksual di Malaysia. Pihak polis sendiri terpaksa merujuk kepada undang-undang jenayah am untuk membuat keputusan kesalahan.
“Tiada sebarang akta untuk gangguan seksual di tempat kerja memaksa majikan ambil tindakan terhadap aduan mangsa,” katanya ketika membentangkan usul tersebut dalam Persidangan Parlimen Belia di Dewan Rakyat hari ini.
Justeru, menurut Ahmad Zaki, sudah tiba masanya untuk kerajaan ambil serius dan wujudkan akta khusus untuk gangguan seksual, kita dapat memberi garis panduan dalam mengelakkan masalah itu daripada berlaku termasuk definisi dan prosedur untuk memproses aduan berkaitan.
Tambah beliau, rata-rata mangsa juga kadang-kadang tidak tahu definisi gangguan seksual malah tidak mengenalpasi kejadian itu ketika berlaku.
“Definisi ini juga perlu diperhalusi kerana ramai yang ‘terkena’ tetapi mereka tidak pasti adakah itu sejenis gangguan seksual. Gangguan ini berlaku dan wujud dimana-mana, ia berlaku di antara ahli-ahli daripada jantina yang berlainan atau jantina yang sama,” ujarnya.
Sementara itu, wakil belia Kedah, Muhamad Aiman Mohd. Nahzeri juga mendesak kerajaan menubuhkan Tribunal Gangguan Seksual yang mempunyai peranan menetapkan hukuman selain untuk memberi cadangan untuk kerajaan berhubung perkara yang sama.
“Tribunal ini boleh membantu memberi pandagan bernas kepada kerajaan berhubung perkara ini agar ianya tidak terus membebankan rakyat kita, sekurang-kurangnya ada satu badan yang ditubuhkan untuk membantu,” katanya.
Wakil dari Johor, R. Yogeswaran pula berpandangan, teknologi serta laman sosial yang banyak menyebarkan berita palsu serta berbaur seksual juga mendorong berlakunya gangguan seksual.
“Berita-berita sebegini juga boleh mendorong seseorang untuk bertindak luar dugaan terhadap mangsa, mengeluarkan kata-kata lucah juga gangguan seksual.
“Apabila penyebaran berita palsu tentang seseorang, segelintir golongan akan mengeluarkan pendapat berbaur kotor dan lucah. Ini semua gangguan seksual secara emosi,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim bercadang mewujudkan Akta Gangguan Seksual yang bertujuan melindungi mangsa gejala itu terutamanya daripada kalangan wanita.
Baru-baru ini pula, Polis Bantuan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berjaya memberkas 21 daripada 22 suspek yang terlibat dalam kejadian gangguan seksual yang dilaporkan sepanjang tahun ini.- MalaysiaGazette