Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Joseph Kurup menyampaikan cenderamata penghargaan dalam kategori ikon perpaduan kepada Angkasawan Pertama Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor pada program ‘Moments Of Unity’: Perpaduan di Hati anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (PERPADUAN) di Jalan Seri Sentosa 12, Taman Sri Sentosa, Brickfields, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 FEBRUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Rakyat digesa mengamalkan budaya hormat menghormati perasaan antara kaum bagi mengekalkan perpaduan sesama masyarakat yang pelbagai budaya dan agama, kata Timbalan Perdana Menteri.

Dalam ucapan yang dibacakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup,  Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat Malaysia sudah membuktikan kepada dunia semangat perpaduan dalam kepelbagaian telah dimanfaatkan sepenuhnya sebagai aset formula kejayaan selama 60 tahun di negara ini.

Ia, katanya, penting untuk terus dikekalkan demi kesejahteraan negara.

“Apa yang perlu diamalkan adalah komunikasi silang budaya iaitu saling memahami dan menghormati perasaan antara kaum di negara ini.

“Harus juga ditanamkan sifat komunikasi silang budaya supaya kita memahami perasaan lain-lain kaum dikalangan kita seperti orang Melayu memahami perasaan orang Cina, India, bumiputera Sabah dan Sarawak dan Orang Asli dan demikianlah sebaliknya,” kata beliau semasa merasmikan majlis Moments of Unity, Perpaduan Di Hati di Lembah Pantai petang ini.

Menurut Ahmad Zahid, kemerdekaan yang dikecapi negara tidak bergolek dan mudah, bagaimanapun tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mencetuskan kekecohan dan kekeliruan dikalangan masyarakat adalah amat dikesali.

“Oleh sebab itu, kita berasa amat kesal apabila ada segelintir pihak yang telah meracun, menghasut dan mempengaruhi fikiran rakyat hingga sanggup turun berhimpun secara haram ke kaki-kaki jalanan, bersemonstrasi tanpa hala tuju dengan memburuk-burukkan negara dan cuba menjatuhkan pemimpin serta kerajaan secara tidak demoktratik,” ujarnya lagi.

Beliau juga mengingatkan kejayaan perpaduan dan keamanan negara sekarang ini adalah hasil titik peluh pemimpin terdahulu yang sayangkan negara.

“Semuanya ini adalah hasil daripada perpaduan yang dikecapi disamping kebijaksanaan para pemimpin negara dari dahulu sehingga ke hari ini,” katanya lagi.

Selain itu, Kurup juga menegaskan kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum walaupun kumpulan etnik tersebut kecil sekali pun.

“Kerajaan tidak akan meminggirkan mana-mana pihak sekali pun apa-apa kumpulan etnik yang kecil bilangannya.

“Pucuk pangkalnya, di mata dan di hati kita, setiap seorang etnik dan keturunan adalah 1Malaysia, “ katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast