KUALA LUMPUR – Tan Sri Lee Lam Thye mendesak pihak berkuasa menyiasat hingga ke akar umbi kes pembantu rumah warga Indonesia yang meninggal dunia semalam disyaki akibat didera majikannya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Naib pengerusi kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia itu berkata pihak berkuasa juga perlu memastikan hukuman yang akan dikenakan juga setimpal dengan perlakuan terhadap mangsa.
“Kejadian itu menjurus kepada pencabulan hak asasi manusia, sesuatu yang tidak boleh diterima,” kata Lee, yang terkejut dengan kejadian itu, kepada Bernama.
Adelina Lisio, 28, meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam selepas dia dipercayai didera di suatu alamat di Taman Kota Permai 2.
Polis menahan tiga orang, masing-masing berumur 36, 39 dan 60 tahun berhubung kes itu.-BERNAMA