KUALA LUMPUR – BERSIH bukan sahaja sudah hilang ‘arah tuju’ malah kini boleh disifatkan sebagai sebuah gabungan hampir ‘mati’ kerana sudah tidak relevan lagi dalam kalangan para penyokongnya.

Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S. Vell Paari berkata, beliau sedikit pun tidak terkejut dengan ‘adegan’ pada forum BERSIH Ahad lepas apabila para pemimpin gabungan itu seolah-oleh ‘tercekik’ dan ‘kalut’ untuk menjawab persoalan daripada orang mereka

Malah jelas beliau, BERSIH yang pada awalnya diasaskan untuk ‘membersihkan’ dan mendapatkan ketelusan dalam sistem pilihan raya kini seolah-olah menjadi platform kepada pembangkang untuk mendapatkan undi dan menyebarkan fitnah serta mengelirukan pengundi.

“Rakyat kita bukan selama-lamanya boleh ditipu sesuka hati. Mereka juga sudah bangkit dan celik. Sampai bila nak gunakan alasan kononnya ada kepincangan dalam proses pilihan raya. Apa yang mereka tahu hanyalah demonstrasi jalanan dengan mengheret rakyat ke jalan raya.

“Pengundi kita bukan boleh di bohongi selamanya, agenda untuk mengubah kerajaan dengan demonstrasi haram sudah tidak laku di Malaysia. Lagipun sudah tentu rakyat kita juga tahu apa yang salah dan betul. Mereka juga nampak apa yang sedang berlaku.

“BERSIH sudah tidak relevan. Agenda dan matlamat mereka juga sudah lari. Mereka kini seolah-olah jurucakap pembangkang dan lebih kepada menjadikan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri. Kerana itu juga rata-rata pengundi yang juga penyokong mereka sudah bosan dan rasa di khianati sehingga tidak mahu keluar mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan MalaysiaGazette mengenai gelagat para panel popular  dalam forum itu termasuk bekas Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan dan anak Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datin Marina yang berhadapan dengan ‘kesukaran’ untuk meyakinkan mereka yang hadir untuk keluar mengundi bagi memastikan kemenangan buat pembangkang.

Ada dalam kalangan mereka mempertikaikan kenapa perlu mengundi pada PRU-14 sekiranya tidak percaya kepada sistem demokrasi di Malaysia.

Rata-rata yang hadir pada majlis pelancaran dan forum BERSIH kali ini  tidak begitu bersemangat seperti biasa.

Tidak seperti dulu, masing-masing akan percaya ‘bulat-bulat’ dengan retorik pemimpin BERSIH termasuk pembangkang tetapi kini sudah mula mempersoalkannya.

Vell Paari juga dalam menyindir dengan menyoal bagaimana slogan yang dilaungkan BERSIH dalam Bahasa Malaysia namun forum itu dijalankan 100 peratus dalam Bahasa Inggeris sehingga mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong mereka.

“Saya juga mahu tahu seperti pemimpin Amanah, Yamin Salim dari Shah Alam yang bangkit dengan lantang menyoal relevan untuk hanya menggunakan bahasa Inggeris sedangkan slogan serta namanya dalam Bahasa Malaysia?

“Jangan retorik sangat. Penyokong anda sendiri menyoal anda. Pemimpin dari parti Tun Mahathir sendiri yang menyoal. Jangan tuduh atau tukar cerita biasa kononnya kami cuba sabotaj,” tegasnya.

Tambah Vell Paari, BERSIH kini bukan sahaja tidak lagi relevan dan jujur malah agenda asal sehingga menyebabkan penyokong serta rakyat bosan dan muak yang bersifat peribadi dan tidak mendahulukan kepentingan rakyat.

“Kita jangan lupa juga, satu ketika dulu, Tun Mahathir sendiri pernah mengkritik tanpa henti sebarang demonstarsi jalanan dengan begitu hebat sekali. Sekarang anda gunakan gabungan demonstrasi jalanan untuk menjaja undi supaya beliau menang? Rakyat nampak dan mereka akan tunjuk kuasa mereka ketika PRU kelak,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast