KUALA LUMPUR – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) sedang dalam perangkaan membuat kertas kerja bagi menangani tragedi lemas di seluruh negara.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan NIOSH yang diterajui oleh Tan Sri Lee Lam Thye untuk membuat kertas kerja tersebut untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
“Isu lemas ini bukan baharu malah sejak kebelakangan ini banyak sangat laporan berhubung dengan perkara ini. Langkah ini juga supaya penyelesaian jangka panjang dapat dicari.
“Ini bukan sahaja di pantai timur tetapi di seluruh negara dan dalam apa juga situasi termasuk kejadian lemas membabitkan pemancing,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan pra-pelancaran Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-16 dan Pameran Keselamatan Antarabangsa Asia (NATSEC) hari ini.
Baru-baru ini, berlaku lagi beberapa tragedi lemas di negeri-negeri berlainan sehingga melibatkan mangsa maut sempena musim cuti perayaan Tahun Baharu Cina.
Lam Thye yang juga Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air Kebangsaan menuntut sebuah jabatan bertaraf penuh perlu dibentuk bagi merancang, menguatkuasa, menyusun strategi dan melaksanakan langkah pencegahan kejadian lemas di air.
Lam Thye menyatakan kebimbangan beliau berikutan kes kematian akibat lemas kerap berlaku sejak kebelakangan ini dan dikhuatiri bakal menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Secara purata, kira-kira 700 kes lemas dilaporkan berlaku di seluruh negara setiap tahun atau lebih kurang dua kematian setiap hari.
“Kita tunggu kertas kerja itu sebelum dibentangkan oleh Menteri Sumber Manusia kepada jemaah menteri supaya dapat dibincangkan dengan teliti. Kita pandang serius dan tangani perkara ini sebaik mungkin,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mendedahkan Malaysia kini antara negara yang paling aktif dalam mencipta dan mengeluarkan produk keselamatan terkini.
Jelas beliau, tidak mustahil dalam pada masa akan datang, Malaysia akan memiliki firma keselamatan yang terkenal pada peringkat antarabangsa bagi menghasilkan teknologi berdaya saing.
“Untuk merealisasikan impian ini, kita juga pada masa yang sama perlu meningkatkan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) supaya dapat memenuhi keperluan yang kehendaki.
“Saya berharap kerajaan melalui Kementerian Kewangan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian saya bersama-sama menjalin kerjasama serta membiayai penuh semua program R&D dalam industri pertahanan dan keselamatan,” ujarnya.
Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Masir Kujat.
DSA 2018 dan NATSEC akan diadakan pada 16 hingga 19 April ini di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) berhampiran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Lebih 500 syarikat bakal mempamerkan produk mereka selain lebih 350 delegasi dari 45 negara dan 42,000 pelawat dari 70 negara dijangka hadir pada DSA dan NATSEC.
Pameran DSA dan NATSEC DSA merupakan platform utama kepada pemain-pemain industri dalam bidang pertahanan dan keselamatan untuk mempromosikan produk, bertukar idea dan menjalin perkongsian kerjasama strategik.- MalaysiaGazette