LONDON – Dua penyerang sensasi Liga Perdana Inggeris, Sergio Aguero dan Roberto Firmino tidak akan berdepan hukuman daripada Persatuan Bolasepak England (FA) kerana kelakuan mereka ketika perlawanan Piala FA baru-baru ini.
Aguero terlibat dalam pergaduhan dengan penyokong Wigan selepas kekalahan mengejut pendahulu Liga Perdana Inggeris itu dalam saingan Piala FA.
Peledak Manchester City itu dikatakan terbabit dalam tindakan fizikal dengan penyokong Wigan ketika ratusan peminat masuk ke padang selepas Wigan cipta kemenangan 1-0 pada pusingan kelima Piala FA.
Rakaman televisyen menunjukkan kekecohan di Stadium DW dengan Aguero mengangkat tangannya bagi menolak penyokong yang akhirnya terpaksa ditahan.
Difahamkan, Aguero mendakwa dia diludah.
Pemain Argentina itu tidak akan dikenakan tindakan disiplin oleh FA berikutan insiden terbabit walaupun penjaring dengan rekod terbanyak City itu ‘diberi peringatan mengenai tanggungjawabnya.’
Bagaimanapun, badan induk itu mengesahkan pihaknya mendakwa City serta Wigan kerana gagal mengawal pemain mereka selepas Fabian Delph dibuang padang pada babak pertama.
“Wigan Athletic dan Manchester City masing-masing didakwa kerana gagal mengawal pemain mereka selepas Fabian Delph dibuang padang malam semalam pada saingan pusingan kelima Piala FA Emirates.
“Kelab berkenaan diberikan masa sehingga pukul 6 petang, Jumaat ini untuk membalas,” kata kenyataan FA.
Sementara itu, penyerang Liverpool, Roberto Firmino dituduh menggunakan bahasa kesat ke atas pemain Everton, Mason Holgate dalam aksi Piala FA bulan lalu..
Sewaktu insiden tersebut, Holgate dilihat menolak Firmino, 26 tahun pada minit ke-40 dan kemudian pemain Liverpool itu memberikan reaksi secara verbal kepada pertahanan Everton berkenaan.
“Berdasarkan siasatan terperinci ke atas situasi tersebut seperti tuduhan dilemparkan ke atas pemain Liverpool, Roberto Firmino oleh pemain Everton, Mason Holgate maka pihak FA dapat mengesahkan tiada tindakan disiplin akan dikenakan ke atas Firmino,” kata kenyataan daripada FA. – MalaysiaGazette