KUALA LUMPUR – Perbadanan Sumber Manusia Berhad (HRDF) akan menggunakan ujian psikometrik Profil Integriti Malaysia (MIP) yang dibangunkan oleh Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) bagi memperkasakan amalanĀ budaya berintegriti.
Penggunaan instrumen itu membabitkan pihak-pihak berkepentingan dalaman iaitu kakitangan dan juga luaran seperti syarikat-syarikat penyedia latihan yang berdaftar dengan HRDF, kata Ketua Eksekutif HRDF, Datuk CM Vignaesvaran Jeyandran hari ini.
Bercakap kepada pemberita di sini, beliau memberitahu, pihaknya akan mendedahkan MIP kepada kakitangannya dan kemudian kepada syarikat-syarikat yang berdaftar dengan HRDF dan juga individu-individuĀ penyedia latihan.
“Kami akan laksanakan secara berperingkat-peringkat. Kepada kakitangan, kami akan laksanakan terlebih dahulu dan kemudian kepada lebih 20,000 syarikat dan 3,500 penyedia latihan yang berdaftar dengan PBSM,” kata beliau.
Bagi tujuan itu HRDF hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan INTEGRITI.
Bagi pihak INTEGRITI, MoU itu ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff manakala PSMB diwakili oleh Vignaesvaran. Majlis itu disaksikan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Dr. Mohd Ghazali Abas.
MIP satu instrumen yang digunakan untuk menilai tahap integriti seseorang individu. Ia menilai tahap integriti individu dalam dua aspek utama iaitu Kualiti Peribadi dan Pendirian.
Kualiti Peribadi menilai sama ada individu terbabit mempunyai sifat atau sikap yang menjadi asas kepada integriti manakala Kualiti Pendirian mengukur persepsi individu terhadap nilai kerja yang positif.
MIP mengandungi Indeks Konsistensi iaitu ukuran yang mengesan perilaku calon yang dapat mempengaruhi kesahan skor seperti kemungkinan tidak menjawab secara jujur, tidak membaca soalan dengan teliti dan lain-lain.
Beliau berkata, langkah itu diambil bukan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak sebaliknya bertujuan memperkasakan sistem pengurusan sumber manusia membabitkan HRDF.
Di bawah MoU itu, HRDF akan menggunakan MIP bukan sahaja dalam kalangan kakitangannya, malah membabitkan syarikat-syarikat yang berdaftar dengannya demi melahirkan pemegang berkepentingan yang berintegriti.
Menurut beliau, pihaknya akan memastkan pematuhan “seratus peratus” apabila melaksanakan MIP kelak.
Sambil menjelaskan HRDF telah pun melaksanakan ikrar integriti korporat, Vignaesvaran berkata, penggunaan MIP akan membantu pihaknya melengkapkan usaha memperkasa budaya berintegriti.
Terdahulu dalam ucapannya, Vignaesvaran berkata, MoU yang ditandatangani itu bertujuan menyatakan sokongan HRDF kepada INTEGRITI serta membuktikan komitmen PBSM dalam membudayakan dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti.
“Integriti merupakan aspek yang sangat penting dalam setiap organisasi tidak kira sama ada di dalam organisasi kerajaan, swasta mahupun korporat.
“Sejajar dengan saranan kerajaan dalam menekankan kepentingan integriti di pelbagai sektor kerajaan, maka kami juga mengambil langkah sewajarnya untuk menanam sifat integriti ini di sektor korporat,” kata beliau.
Beliau, MoU yang ditandatangani itu membuktikan komitmen HRDF dalam melaksanakan tanggungjawab secara berintegriti dan membuktikan sokongan penuh terhadap usaha pencegahan rasuah oleh Kerajaan Malaysia.
Sementara itu, Anis Yusal berkata, MIP merupakan instrumen ujian integriti bersandarkan kepada ‘psychometric test’, di mana ujian itu dapat menilai kecenderungan seseorang sama ada mereka bertindak dengan integriti atau sebaliknya.
“Pada hari ini banyak agensi yang telah menggunakan perkhidmatan INTEGRITI.
“Kita berharap instrumen ini dapat dijadikan usaha asas yang dapat digembleng bersama dengan program latihan sumber manusia agar kita dapat memberi latihan berdasarkan keperluan kepada kelemahan-kelemahan yang dikenal pasti melalui ujian tersebut,” kata beliau.
Menurut Anis Yusal, setakat ini sebanyak 16 agensi dan syarikat telah menjalin kerjasama dengan INTEGRITI untuk menggunakan MIP.- MalaysiaGazette