Home Nasional WADIRA dapat peruntukan RM1 juta tahun ini

WADIRA dapat peruntukan RM1 juta tahun ini

Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap kepada media pada Konvensyen Perdana WADIRA FELCRA Berhad 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW) telah menambah peruntukan sebanyak RM250,000 kepada Pertubuhan Wanita Dinamis Felcra (WADIRA) bagi menjadikan jumlah keseluruhan berjumlah RM1 juta pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tahun lalu, sejumlah RM750,000 disalurkan kepada WADIRA melalui anak syarikat FELCRA seperti FELCRA Training and Consultancy Sdn Bhd (FTC) bagi tujuan sama.

“Ketika FELCRA dikorporatkan pada 1977, sejumlah RM4.3 juta disalurkan setiap tahun dan RM300,000 daripada jumlah itu adalah dana khas membantu usahawan wanita.

“Kementerian akan terus membantu WADIRA menerusi pelbagai dana dan program keusahawanan bagi membantu meningkatkan pendapatan masyarakat Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Konvensyen Perdana WADIRA 2015 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Konvesyen tersebut dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang turut dipilih sebagai Ikon Inspirasi Wadira Felcra 2018. – MalaysiaGazette