Datuk Zakaria Arshad

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 60 peratus kepada RM417 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 berbanding RM260 juta pada tahun sebelumnya.

Prestasi baik itu disumbangkan oleh sektor perladangan dan logistik serta sektor-sektor lain.

“Sektor perladangan menyumbang keuntungan sebanyak RM554 juta berbanding RM234 juta untuk tempoh yang sama berikutan penghasilan tandan buah segar, margin penjualan minyak sawit mentah dan prestasi syarikat-syarikat usahasama yang lebih baik,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad dalam satu kenyataan.

Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) FGV melonjak kepada RM144 juta berbanding RM31 juta manakala perolehan menyusut sebanyak dua peratus kepada RM16.975 bilion pada tahun kewangan 2017 berbanding tahun sebelumnya.

Penghasilan minyak sawit mentah meningkat 12 peratus kepada 2.99 juta tan metrik, selari dengan pertumbuhan pengeluaran tandan buah segar daripada 3.91 juta tan metrik pada tahun kewangan 2016 kepada 4.26 juta tan metrik pada tahun lalu, kata Zakaria.

Sektor gula pula mencatatkan keuntungan kecil berikutan peningkatan harga gula mentah antarabangsa dan kelemahan nilai ringgit berbanding tahun lalu.

Bergerak ke hadapan, FGV dijangka menangani kekurangan tenaga buruh pada pertengahan tahun ini.

Ia akan meningkatkan keberkesanan penuaian dengan unjuran pengeluaran buah tandan segar naik sebanyak 9 peratus kepada 4.85 juta tan metrik selain pengurangan kos bekas kilang pengeluaran minyak sawit mentah kepada RM1,562 setan metrik.

“Kami akan terus mengembangkan keupayaan perniagaan sektor logistik dan lain-lain untuk menjana peluang luaran kepada Kumpulan, termasuk pemerolehan tangki cecair dan kering baharu serta peluang perniagaan luaran daripada perbagai projek infrastruktur.

“Bagi sektor gula, kami mencatatkan kemajuan menerusi kos pengurusan yang efektif, pengkuhan modal dan rasionalisasi operasi,” kata Zakaria.

Selain itu, kilang penapisan gula di Johor yang dijangka mula beroperasi pada separuh kedua tahun ini akan meningkatkan keupayaan penapisan gula untuk pasaran eksport, tambah beliau. – MalaysiaGazette