Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong bergambar kenangan bersama Presiden MCCA, Tan Yew Sing dan tetamu jemputan yang hadir di Malaysia China Chamber of Commerce (MCCC) di The Federal Hotel, Kuala Lumpur. foto IMRAN FAKHRI, 24 FEBRUARI2018

KUALA LUMPUR – Pandangan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita kononnya kerajaan menjual tanah kepada negara China tidak benar sekali.

Sebaliknya, pihak yang menyebarkan cerita itu seolah-olah ‘dengki’ dengan kejayaan Malaysia mempertingkatkan kerjasama mengeksport minyak sawit dan produk berasaskan getah dari Malaysia.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, kerajaan gembira untuk terus menjalinkan kerjasama dengan kerajaan China dalam mengeksport sawit serta getah sekaligus mempertingkatkan pendapatan negara.

“Jika China berminat untuk melabur dan mengimport sawit dan getah dengan jumlah yang banyak, apa salahnya? Untuk kebaikan negara juga.

“Kita bukan menjual tanah dan negara kepada China, jangan berteruskan menyebarkan fakta serta berita palsu seperti ini. Sebelum ini, China ada memberitahu mereka tidak akan mengenakan sebarang sekatan ke atas minyak sawit Malaysia dan produk berasaskannya.

“Itupun pun ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab mengatakan kita mengikut telunjuk China dan menjual tanah kepada mereka, hentikan cakap-cakap begini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru China anjuran  De­wan Perdagangan Malaysia-­China (MCCC) di sini hari ini.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut termasuk Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian.

Sebelum ini, China telah berikrar tidak akan mengenakan sebarang sekatan ke atas minyak sawit Malaysia dan produk berasaskannya.

Sebaliknya, China menyatakan kesedian untuk mengimport lebih banyak produk utama seperti minyak sawit dan produk berasaskan getah dari Malaysia pada masa depan.

Malaysia mengeksport minyak sawit dan produk berasaskannya bernilai RM8.52 bilion ke China bagi tempoh Januari sehingga November tahun lepas berbanding RM7.76 bilion bagi tempoh sama 2016, iaitu peningkatan sebanyak 9.8 peratus.

Tambah Siew Keong yang juga merupakan Presiden Gerakan, China merupakan pembeli kedua terbesar minyak sawit Malaysia dan produk berasaskannya selepas Kesatuan Eropah (EU) bagi keperluan biobahan api.

“China sudah mengambil alih kedudukan India sebagai destinasi eksport kedua utama bagi minyak sawit Malaysia dan produk berasaskannya.

“Kita menjangkakan China menjadi pengimport terbesar komoditi negara dalam masa dua tahun,” katanya.

Menyentuh getah dan produk berasaskannya, Mah berkata China telah mengatasi Amerika Syarikat dan EU sebagai destinasi eksport utama Malaysia.

Katanyanya, Malaysia mengeksport produk itu yang bernilai RM7.45 bilion ke China bagi tempoh Januari sehingga November tahun lepas iaitu kenaikan sebanyak 76 peratus berbanding RM4.23 bilion bagi tempoh sama pada tahun 2016.- MalaysiaGazette