KUALA LUMPUR – Gara-gara begitu taksub dengan politik arus perdana, Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming didakwa lepas tangan sehingga menyebabkan rata-rata penduduk khasnya yang berbangsa Cina rasa ‘terbiar’ selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.
Walaupun pada mulanya, pelbagai janji serta transformasi serta perubahan ada dibuat namun selepas kemenangan besar, ianya berkubur begitu sahaja.
Salah seorang penduduk yang enggan di kenali oleh Malaysia Gazette di pasar pagi di Seri Kembangan awal pagi tadi meluahkan rasa kecewa dan rasa tertipu kerana mengundi lambang ‘roket’.
“Masa sebelum PRU, kita selalu nampak beliau rajin turun padang dan sebagainya. Sekarang tidak ada apa-apa. Memang muka beliau selalu keluar suratkhabar dan media tapi beliau hanya berkebolehan bercakap sahaja.
“Janji-janji kononnya aka nada perubahan sebenarnya tidak ada. Memang betul kami di sini suka kepada DAP, penyandang sebelum ini jauh lebih baik daripada beliau sebenarnya. Kali ini jika beliau masih lagi calon, mungkin kami tidak akan undi.
“Jangan selalu tipu kami kerana menjelangnya PRU, kami sebagai rakyat hanya mahu nasib terbela,” katanya.
Dalam pada itu, difahamkan Kian Ming berkemungkinan besar tidak akan bertanding di Parlimen Serdang sebaliknya akan ‘melarikan diri’ ke Segambut manakala penyandang kini, Lim Lip Eng dari DAP pula akan di hantar bertanding ke Kepong sekaligus menggugurkan pemimpin veteran popular DAP, Tan Seng Giaw.
Seng Giaw di katakan antara yang lantang dalam menyuarakan rasa tidak puas hati dengan ‘dinasti Lim’ sehingga memaksa kepimpinan tertinggi untuk menggugurkan sekaligus membunuh karier politik Seng Giaw.
Dalam pada itu, calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Wan Jinn Woei atau lebih mesra dengan panggilan Dennis Wan dalam kalangan penduduk Sri Kembangan dan Balakong akan bertanding atas tiket PRM untuk kerusi Parlimen Serdang.
Menurut Dennis yang juga merupakan Ketua Pemuda PRM Selangor, beliau yakin dengan kelebihan dirinya yang cukup terkenal dalam kalangan penduduk tempatan yang turut mahukan perubahan.
“Ada banyak permasalahan rakyat yang perlu di selesaikan tidak kira sebelum atau selepas PRU tetapi penyandang gagal berbuat demikian. Kami dalam PRM bukanlah sebuah parti lama sebaliknya telah lama wujud sejak tahun 1955.
“Kami juga telah kembali aktif sejak beberapa kebelakangan tahun ini selepas menyepi sekian lama atas alasan politik yang tidak dapat di elakkan sebelum ini. Bagaimanapun, kami kembali kerana rata-rata kecewa.
“Sebelum ini, tsunami menyebabkan rata-rata pengundi beralih arah kepada pembangkang daripada kerajaan BN. Namun apa yang mengecewakan mereka, selepas menerajui hampir 10 tahun beberapa kerajaan negeri, rakyat masih tidak nampak perubahan seperti yang di janjikan.
“Kerana itu, kami membuat keputusan untuk bertanding demi rakyat, untuk rakyat,” tegasnya.
PRM merupakan sebuah parti politik berfahaman sosialis demokratik di Malaysia, pada awal penubuhannya ia dikenali sebagai Parti Ra’yat.
PRM ditubuhkan di Kuala Lumpur pada tanggal 11 November 1955 oleh tiga orang tokoh iaitu Ahmad Boestamam,Dr.Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak Haji Muhammad (Pak Sako).
Usaha-usaha oleh pihak tertentu yang kemudiannya ingin PRM dibubarkan di mahkamah,namun usaha mereka gagal kerana pada 16 Julai 2009, parti itu telah disytihar sebagai sebuah parti politik yang sah.- MalaysiaGazette