KUALA LUMPUR – BERSIH 2.0 diberi amaran supaya tidak mencampuri urusan undi pos yang dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk anggota tentera.
BERSIH 2.0 yang menyebelahi pembangkang itu juga diingatkan supaya tidak mengganggu hak-hak pasukan keselamatan melaksanakan tanggungjawab mereka menerusi undi pos.
Presiden Pertubuhan Aduan Rakyat (PAR), Datuk A.Chandrakumanan berkata, BERSIH 2.0 tidak berhak meminta kerajaan khususnya SPR memansuhkan proses undi pos itu.
“Adakah BERSIH 2.0 cuba mencadangkan kesemua tentera yang sedang berkhidmat di lapangan menjaga keselamatan di sempadan negara perlu mengabaikan tugas mereka dan balik ke mengundi?
“Nampaknya mereka semakin biadab menjadikan tugas tentera dan keselamatan negara sebagai bahan jenaka dan mempunyai agenda berniat jahat disebalik cadangan itu.
“Kalau bebas bersuara tidak semestinya boleh cakap sesuka hati tanpa waras, jangan berlagak pandai wahai pemimpin BERSIH,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan BERSIH 2.0 yang mahu sistem undi pos dimansuhkan serta merta untuk memastikan proses mengundi lebih adil ke arah proses pelaksanaan pilihan raya yang telus.
Sambil meminta kerajaan dan SPR tidak melayan saranan BERSIH, Chandrakumanan menganggap permintaan itu sebagai satu penghinaan kepada anggota tentera dan ahli keluarga mereka.- MalaysiaGazette