Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M 2018) kepada sebahagian daripada 2000 penerima pertama bantuan tersebut pada Majlis Pelancaran Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M 2018) Peringkat Kebangsaan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, Pekan, Pahang. foto SAFWAN MANSOR, 25 FEBRUARI 2018

PEKAN – Kritikan pembangkang yang mendakwa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai ‘dedak’ adalah mengarut kerana langkah pemberian tunai yang diperkenalkan tersebut berjaya merangsang ekonomi negara, kata Datuk Seri Najib Razak.

Jelas Perdana Menteri, wang BR1M yang dimanfaatkan oleh rakyat akan merangsang permintaan ekonomi domestik dalaman dan ia pada masa sama memberikan kesan yang positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Jadi kita gunakan duit BR1M akan merangsangkan permintaan ekonomi domestik dalaman

“Jadi bila permintaan bertambah, ekonomi kita pun akan berkembang sebab ada permintaan… Cuba bayangkan di Pekan contohnya, kalau tidak ada duit BR1M, penjaja dan peniaga kurang permintaannya, kurang kuasa pembelinya, kurang pendapatannya, jadi ekonomi kita akan menguncup, kurang permintaan. Permintaan domestik salah satu faktor untuk mengembangkan ekonomi kita,” kata beliau semasa melancarkan BR1M 2018 di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah hari ini.

Najib berkata, daripada segi teori langkah pemberian BR1M diperkenalkan oleh kerajaan adalah tidak salah dan bukan populis kerana wujud asas yang kukuh ia perlu dilaksanakan.

“Jadi saya nak menekankan BR1M ini tak salah dari segi teori ekonomi.

“Bukan satu bersifat politik atau populis, bukan main politik tapi ada asasnya, asasnya untuk mengembangkan ekonomi,” katanya.

Menurut Najib, jika langkah kerajaan memperkenalkan BR1M tersebut salah masakan negara-negara lain juga mengikuti jejak Malaysia untuk turut sama memberi bantuan tunai kepada rakyat, cuma bezanya pada nama program tersebut sahaja.

“Kalau tidak takkan lah negara lain pun buat hampir sama, cuma nama bukan BR1M sahaja.

“Negara di Timur Tengah, naikkan harga minyak mendadak, 126 peratus sekali gus naik, dia bayar juga mengeimbangi kenaikan harga minyak itu, jadi bukan satu yang aneh yang pelik bukan suatu yang luar biasa tapi dilakukan juga negara lain,” katanya.

Oleh sedemikian, Najib menolak dakwaan pembangkang yang menyifatkan pemberian BR1M adalah berbentuk sogokan supaya mengundi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya seperti yang selalu dikatakan mereka.

“Jadi kalau orang nak kata ini dedak lah, cash is king, ini semua mengarut sebab zaman dia tak buat dulu

“Zaman saya buat BR1M kerana kita adalah kerajaan yang prihatin kepada rakyat, kebajikan rakyat,” ujarnya.

Bagaimanapun, Najib mengalu-alukan pengkritiknya supaya memberi cadangan yang lebih berkesan dalam membantu kebajikan rakyat sekiranya tidak bersetuju dengan pemberian BR1M yang dilaksanakan dan tidak sekadar hanya pandai mengkritik kerajaan sahaja.

“Jadi kalau orang kata tak suka BR1M, tolong cadangkan apakah cara lebih baik untuk bantu kumpulan B40 ini, kaedah lebih baik, jangan mengkritik sesuatu tanpa memberi cadangan yang membina,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast