Datuk Seri Liow Tiong Lai

KUALA LUMPUR – Sokongan pengundi Cina di Kuala Lumpur mula kembali kepada MCA kerana selepas 10 tahun berada di bawah DAP, tiada perubahan yang dapat dilihat di setiap kawasan parti pembangkang itu.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, rata-rata masyarakat Cina yang ditemui beliau menyatakan sokongan kepada kerajaan setelah kecewa dengan prestasi DAP.

Malah beliau yakin sokongan tersebut dapat diterjemahkan oada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Sudah dua penggal mereka menang tetapi DAP gagal membuat sebarang perubahan manakala MCA pula terus gigih berusaha untuk menarik sokongan daripada rakyat.

“Semasa saya bertemu dengan rakyat di peringkat akar umbi, mereka memberi komitmen bahawa kali ini sokongan mereka adalah untuk Barisan Nasional.

“Kita dapat lihat pada suasana di sini, moodnya telah ada, sokongan semakin jelas malah komitmen juga telah diberikan kepada kami,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2018 MCA Wilayah Persekutuan dan MCA Bandar Tun Razak yang dihadiri 3,000 penduduk setempat di sini hari ini.

Ujar Tiong Lai, beliau sentiasa mengingatkan kaum Cina supaya memberi sokongan kepada kerajaan agar pembangunan dapat dilaksanakan dengan mudah dan berkesan.

“Kita sebenarnya mengenepikan kaum Cina kalau mengundi DAP.

“Ini kerana MCA berada dalam kerajaan, lebih mudah untuk kita membantu rakyat dan melaksanakan pembangunan kerana kita mempunyai sumber yang lebih besar berbanding pembangkang.

“Lebih baik kita semua fokus kepada pembangunan negara, kita sama-sama majukan negara ini bersama kaum-kaum yang lain seperti Melayu dan India,” katanya.

Sementara itu, Tiong Lai memberitahu, perbincangan mengenai pertukaran kerusi Parlimen antara MCA dengan parti-parti komponen lain masih belum selesai dan ia dibincangkan secara dalaman sahaja.

“Tiada apa-apa lagi. Jadi apa yang boleh saya sahkan, MCA akan bertanding di lima kerusi tradisional Kuala Lumpur iaitu Bukit Bintang, Seputeh, Cheras, Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak,” katanya.

Sebelum ini laporan berita menyatakan MCA dan Gerakan telah bersetuju untuk bertukar kerusi pada PRU14. – MalaysiaGazette