KUALA LUMPUR – Bekas pemain bola sepak negara, Radhi Mat Din dikatakan bakal menjadi calon Pas di Kedah pada pilhan raya umum ke-14 nanti.
Dengar-dengar nama ikon bola sepak negeri itu dicalonkan untuk Parlimen Pokok Sena bagi memastikan sokongan pengundi di kawasan kubu kuat Pas di Kedah itu selepas penyandangnya sekarang, Datuk Mahfuz Omar sudah keluar daripada Pas.
Mahfuz mungkin bertanding kali ini tetapi dipercayai atas nama PPBM dan Radhi dikatakan dicalonkan Pas untuk menyaingi populariti Mahfuz.
Namun bagi Pergerakan Pemuda UMNO Kedah – pemilihan Radhi tidak lebih sekadar menarik hati golongan muda dan aura pemain bola sepak itu dijadikan taruhan.
Malah tindakan itu satu strategi parti pembangkang yang ‘masih celaru’ dalam menentukan calon mereka dan hanya akan menganiayai rakyat, kata ketuanya, Shaiful Hazizy Zainol Abidin.
Menurutnya, orang ramai tidak harus dikaburi mengundi sesebuah kerajaan berdasarkan kepada ikon semata-mata kerana ini adalah keputusan untuk memilih pemimpin bukan memilih idola.
“Begitu juga dengan Akmal Rizal Ahmad Razali yang dibawa parti PPBM berceramah di atas pentas mereka, saya lihat satu lagi usaha terdesak menarik sokongan terhadap parti baru itu,” katanya.
UMNO, menurut Shaiful Hazizy tidak bimbang dengan taktik menggunakan dua ikon bola sepak.
“Kalau kita mengundi bersandarkan kepada ikon semata-mata, ikon tersebut tak boleh buat kerja, ikon tersebut tak boleh menyelesaikan masalah rakyat.
“Bagi saya, apa yang akan jadi selepas ini ialah, rakyat yang akan teraniaya.
“Saya nasihatkan rakyat negeri Kedah, jangan jadikan ikon itu sebagai ukuran yang utama untuk memilih calon,” jelasnya.
Paling penting, katanya, UMNO dan Barisan Nasional merupakan parti dan pakatan politik paling stabil dibandingkan dengang pembangkang.- MalaysiaGazette