KUALA LUMPUR – Petronas Gas Bhd. mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak lima peratus pada suku keempat 2017 sebanyak RM486.7 juta berbanding RM465.6 juta bagi tempoh sama tahun lalu didorong oleh pertumbuhan perolehan disumbang terutamanya oleh terminal regasifikasi baharu gas asli cecair (LNG) di Pengerang, Johor.

Dalam kenyataannya di Bursa Malaysia hari ini, Petronas Gas berkata, perolehan meningkat kepada RM1.3 bilion pada suku keempat berakhir 31 Disember 2017 berbanding RM1.15 bilion sebelumnya.

“Perolehan kumpulan berkembang sebanyak 13 peratus atau RM149.9 juta kepada RM1.3 bilion disumbang terutamanya terminal LNG di Pengerang, Johor yang memulakan operasi pada suku dalam kajian.

“Ini ditambah pula dengan peningkatan perolehan dalam segmen Pemproses Gas dan Utiliti disokong oleh pendapatan PBS (struktur berasaskan prestasi) serta harga jualan yang baik.

“Keuntungan bersih selepas cukai bagi suku keempat turut meningkat sebanyak 10 peratus atau RM47.1 juta kepada RM510.4 juta didorong oleh perolehan yang tinggi ditambah dengan keuntungan besar daripada salah sebuah syarikat usahasama kami,” katanya.

Menurut Petronas Gas, prestasi kumpulan dijangka kekal mampan pada 2018 didokong oleh aliran perolehan yang kukuh dan berterusan daripada Perjanjian Pemprosesan Gas dan Perjanjian Pengangkutan Gas yang telah ditandatangani Petronas.

“Perolehan bagi segmen regasifikasi akan berkembang selari dengan operasi Terminal Regasifikasi LNG di Pengerang yang kini memasuki tahun pertama operasi,” katanya.

Bagi tahun kewangan 2017, Petronas Gas mencatatkan peningkatan keuntungan bersih kepada RM1.79 bilion berbanding RM1.74 bilion tahun sebelumnya.

Perolehan turut merekodkan pertumbuhan tinggi pada RM4.81 bilion berbanding RM4.56 bilion pada tahun kewangan 2016.-MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast